Pendaki OKU Pertama Malaysia Tawan Gunung K2, Ini Kisah Ravichandran 

Seorang pendaki solo orang kurang upaya (OKU), T Ravichandran berjaya menakluk gunung kedua tertinggi dunia iaitu K2 di Pakistan pada ketinggian 8,611 meter.

Ravichandran, 57, yang dikenali sebagai Ravi Everest telah kembali ke tanah air selepas berjaya menawan puncak gunung itu pada 10.50 pagi waktu tempatan, 22 Julai lepas.

Dia bersama lima lagi pendaki solo terhebat dunia serta diiringi lima malim gunung.

“Ia satu penghormatan untuk membawa dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak K2 terutama sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ravichandran yang disambut isterinya Leela Ramamurthy berkata menjadi pendaki pertama Malaysia berjaya menakluk K2 adalah antara cita-citanya yang berhasrat untuk menakluk 14 gunung tertinggi di dunia dalam tempoh tiga tahun.

Sebelum ini, Ravichandran telah melakar sejarah apabila berjaya menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia, Gunung Everest berketinggian 8,848 meter. Mendaki puncak tertinggi di dunia pasti penuh cabaran dan dugaan yang tersendiri.

Sumber: SAYS

Sama juga seperti pendaki berpengalaman ini, Ravichandran terpaksa dipotong lapan hujung jarinya akibat radang dingin (empat jari kedua-dua tangan kiri dan kanannya) semasa ekspedisi mendaki Gunung Everest pada tahun 2007.

“Tidak mustahil untuk bangkit semula selepas jatuh,” katanya kepada pemberita selepas ekspedisi Gunung K2 beliau.

Malah, dia telah kembali dengan penuh kejayaan ke Gunung Everest sejak kecederaannya pada 12 Mei tahun ini. Dia berjaya mendaki ke sana buat kali ketiga.

“Pengalaman menakluk K2 adalah ia tiga kali ganda lebih susah daripada gunung-gunung di Nepal sebab itu K2 dikenali sebagai ‘Gunung Pembunuh’.

Ini merupakan antara cabaran terbesar pernah dia lalui kerana perjalanan hari terakhir menuju ke puncak dan balik dalam masa 24 jam sangat mencabar dirinya.

“Saya merangkak dan menangis. Namun semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang membolehkan saya berjaya,” katanya.

Kejayaannya itu juga membawa mesej bahawa walaupun terdapat kekurangan, tidak mustahil golongan OKU mampu mencipta kejayaan seperti orang sempurna.

Ujar Ravichandran, menjadi seorang OKU tidak memperlihatkan dirinya lemah tetapi mampu berjaya dengan membina kekuatan dalam diri, setanding dengan orang yang sempurna.

Ini kerana setiap orang boleh melakar sejarah dan mencipta rekod dunia sekiranya kental, berusaha dan tidak berputus asa.

“Kami (OKU) boleh cemerlang seperti orang biasa. Kami boleh mencapai sesuatu yang luar biasa. Ketika saya berada di puncak K2, pendaki dunia dapat melihat keistimewaan Malaysia iaitu kita tidak memandang rendah golongan kurang bernasib baik,” katanya

Semangat dan jiwa Ravichandran perlu dijadikan contoh teladan untuk anak bangsa di negara ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: