Pencipta Siri Animasi BoBoiBoy Dedah Ada Negara Islam Tolak Watak Yaya Bertudung

Siapa sahaja yang tidak kenal BoBoiBoy? Diterbitkan oleh Animonsta Studios, siri animasi ini mengisahkan seorang budak lelaki bernama BoBoiBoy yang mempunyai kuasa berasaskan elemen alam.

BoBoiBoy kemudiannya membentuk satu pasukan bersama-sama rakan-rakannya di mana mereka berjuang untuk melindungi bumi daripada ancaman makhluk asing.

Walau bagaimanapun, Nizam Razak mengejutkan orang ramai menerusi perkongsian di laman Facebook dengan berkata salah satu watak dalam BoBoiBoy iaitu Yaya ditolak untuk divisualkan dengan imej bertudung di kebanyakan negara Islam bagi pasaran antarabangsa.

Sumber: Otosection

“Pada 2010, kami pernah pitch BoBoiBoy kepada Disney Channel Asia. Antara isu yang kami risaukan ialah watak Yaya kerana bertudung. Apabila kami bertanya kepada Laura iaitu bos Disney Channel Asia pada ketika itu, beliau memberikan dorongan untuk teruskan design Yaya bertudung.

Kami agak terkejut kerana pada persepsi kami mungkin akan ada isu hijab tetapi ternyata sangkaan kami salah. Beliau berkata Yaya perlu kekal bertudung kerana itu yang unik tentang BoBoiBoy yang berasal dari rantau ini. Kami teruskan Yaya bertudung dan dalam siri BoBoiBoy, Yaya merupakan watak #2 paling popular,” tulisnya.

Pada masa yang sama, pengasas Animonsta Studios itu akui dia berasa terkilan apabila cuba memasarkan BoBoiBoy ke negara yang majoriti penduduknya beragama Islam kerana tudung pula menjadi sensitif di situ.

Oleh itu, watak Hanna (yang tidak bertudung) muncul untuk menggantikan watak Yaya kerana negara majoriti Islam lebih memilih watak tidak berhijab daripada berhijab.

Sumber: Facebook Nizam Abd Razak

“Jika anda rasa itu mengejutkan, ada lagi yang lebih mengejutkan! Apabila kami mahu memasuki beberapa negara majoritinya Muslim, di situ pula tudung menjadi sensitif.

Mereka meletakkan syarat untuk Yaya tidak bertudung. Jika anda perasan, ada versi Yaya yang digantikan dengan Hanna yang tidak bertudung,” tambahnya.

Atas sebab itu, Nizam bertekad untuk tidak mengubah konsep asal apabila Animonsta menerbitkan siri Mechamato. Anda dapat melihat watak berhijab dan berkerusi roda Mara dalam siri ini kerana ia termasuk audio bahasa tempatan. Siri ini juga diterima baik oleh penonton Jepun.

Sumber: Facebook Nizam Abd Razak

Nizam berkata, “Pelik bin ajaib apabila bukan Muslim menerima watak Yaya bertudung tetapi negara majoriti Muslim pula tidak menerima watak Yaya yang bertudung. Pada awalnya kami ikutkan kehendak mereka tetapi kini kami tidak lagi tunduk kepada permintaan sebegitu.

Kami sedar jika kita sendiri tidak mengetengahkan kepercayaan dan budaya dari rantau ini, siapa lagi? Kita tidak mungkin menjadi unik dengan cuba menjadi sama seperti yang lain.

Kini watak Mara dalam Mechamato pula menjadi watak yang digemari peminat terutama dari Jepun dan luar negara. Mara bukan sahaja bertudung tetapi juga berkerusi roda.

Teruskan menonton dan menyokong Mechamato kerana watak Mara akan terus berkembang dalam musim-musim yang seterusnya!”

Apa pendapat anda pula?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: