Pekerjaan Yang Akan Pupus Diambil Alih Kecerdasan Buatan (A.I)

Hari itu penulis ada terbaca satu berita yang bercerita tentang penggunaan khidmat robot untuk menghantar makanan dan minuman semakin meningkat di kawasan ibu kota. Walaupun hal ini ialah satu inisiatif yang baik bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor perkhidmatan, penulis tidak dapat lari daripada tertanya, adakah hal ini akan menjadi norma suatu hari nanti?

Penggunaan robot untuk menghantar makanan dan minuman. Sumber: Sinar Harian

Dengan kemajuan teknologi yang saban tahun makin meningkat, tidak mustahil untuk robot menjadi pengganti sepenuhnya pada masa akan datang. Bukan sahaja robot ini dapat menyelesaikan masalah kesukaran mencari pekerja bagi majikan malah juga dapat menjimatkan kos.

Tidak pelik jika sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, kita akan melihat bukan lagi pelayan manusia yang memenuhi restoran tetapi robot.

Ini baru satu jenis pekerjaan. Dengan perkembangan kecerdasan buatan dalam robot, banyak lagi rupanya pekerjaan yang secara perlahan-lahan akan diambil oleh robot. Berikut adalah tiga pekerjaan yang penulis rasa menarik untuk dikongsikan:

  1. Agen Pelancongan

Dahulu jika kita ingin melancong ke mana-mana, biasanya kita akan mendapatkan khidmat agen pelancongan bagi urusan pembelian tiket dan perancangan pelancongan. Tetapi dengan kehadiran laman dan aplikasi seperti Expedia, Airbnb, and AirAsiaGo, khidmat agen pelancongan ini makin dilupakan.

Orang ramai tidak lagi bersusah payah untuk menghubungi syarikat pelancongan kerana aplikasi dan laman web ini juga menawarkan pakej pelancongan percutian. Selain itu, kebanyakan pelancong tidak menyukai pakej perjalanan kerana ia adalah terhad.

Daripada mengikuti kumpulan pelancongan, pelancong hari ini lebih suka merancang persiaran dan perjalanan mereka sendiri menyebabkan khidmat agen pelancongan makin tidak diperlukan.

2. Pembaca Pruf

Pembaca pruf tugasnya adalah untuk membaca balik tulisan dan mengesan kesalahan tatabahasa. Mereka bertanggungjawab bagi memastikan setiap dokumen atau tulisan itu bebas daripada kesalahan tatabahasa dan ejaan. Dalam setiap syarikat penerbitan terutamanya, biasanya akan ada jawatan untuk pembaca pruf ini.

Namun dengan kemajuan teknologi, aplikasi seperti Grammarly telah perlahan-lahan mengambil alih kerja mereka. Grammarly jika anda tidak tahu, ialah aplikasi yang akan membetulkan tatabahasa penulisan anda yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Setakat ini, dalam pengetahuan penulis, belum ada lagi aplikasi yang khusus untuk mengesan tatabahasa bahasa Melayu. Akan tetapi, tidak musatahil pada masa akan datang, dengan kemajuan teknologi hari ini, aplikasi itu akan dicipta.

Maka akan pupuslah jawatan pembaca pruf ini diambil alih oleh kecerdasan buatan tersebut.

3. Pakar Bedah

Yang ini amat mengejutkan penulis apabila mendapat tahu yang pakar bedah juga boleh digantikan oleh A.I. Yelah, bagaimana robot dapat menggantikan doktor dalam menjalankan prosedur yang memerlukan ketelitian yang tinggi?

Namun ternyata banyak rupanya pakar bedah robot yang telah melakukan operasi kritikal di seluruh dunia.

Sebelum ini Robot Autonomi Tisu Pintar (STAR) telah diuji pada perut babi untuk melakukan pembedahan tisu lembut dengan mencantumkan ususnya semasa pembedahan terbuka. Jahitan yang dilakukan dikatakan lebih sekata dan ketat, mengurangkan peluang kebocoran.

Apa yang lebih menakutkan ialah para profesional pun telah mengaku bahawa STAR melakukan kerja yang lebih baik daripada pakar bedah manusia.

Tidak menghairankan pada masa akan datang, apabila anda terlibat dengan sebarang kemalangan anda tidak akan ada doktor untuk anda berterima kasih kepadanya, kerana ternyata anda telah dibedah oleh robot.

Apa yang kita belajar

Teknologi moden dengan kehidupan kita semakin hari semakin tidak dapat dipisahkan. Dengan lahirnya kecerdasan buatan yang mengalahkan kebolehan manusia, sesetengah pekerjaan akan hilang.

Namun adakah ini bermakna kita perlu salahkan kecerdasan buatan itu kerana merampas kerja kita? Tidak sama sekali.

Bagi penulis, inilah masa untuk kita mula belajar dan mengambil tahu apa peluang masa depan tawarkan dengan kemajuan-kemajuan ini. Pekerjaan-pekerjaan seperti penyelenggara robot mungkin menjadi satu kerjaya yang meluas suatu hari nanti.

Teknologi moden ini tidak akan kemana, terserah pada kitalah untuk mengadaptasi diri dalam dunia moden ini. Seratus tahun yang lepas tidak akan sama dengan seratus tahun yang akan datang.

Jadi hanya dengan ilmu pengetahuan dan pemikiran ke depan akan membantu kita bukan sahaja untuk bertahan di zaman moden ini malah berkembang maju seiring dengan perkembangan semasa.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: