Pasu purba berusia 2,300 tahun yang dipenuhi dengan tulang ayam yang dipatahkan bersama sebatang paku yang digunakan dalam ritual santau telah dijumpai di bawah sebuah banggunan di Agora of Athens, Greece pada 2006.
Tembikar seramik purba itu dijumpai bersama beberapa duit syiling gangsa dan dipercayai merupakan sebahagian daripada ritual sihir mereka.

Menurut kajian Profesor Jessica Lamont dari Universiti Yale, santau ini dibuat dengan tujuan untuk melumpuhkan pergerakan 55 individu.
“Pasu ini mengandungi kepala dan bahagian bawah badan anak ayam, luar permukaan tembikar ini pada asalnya penuh dengan tulisan,
Sebanyak 55 nama telah dipahat di permukaannya namun tulisan tersebut pudar dan hanya tinggal beberapa garisan paku sahaja,” kata Jessica.
Beliau juga menekankan satu perkataan di pasu purba tersebut yang membawa maksud ‘kami mengikat’.

Jessica juga berkata bahawa paku yang dijumpai bersama tembikar itu digunakan untuk melambangkan pergerakan seseorang (mangsa yang disihir) dilumpuhkan.
Manakala anak ayam yang berusia tidak lebih tujuh bulan membawa makna ketidakbolehan seseorang untuk melindungi diri mereka sendiri.
Selain itu, pasu purba ini didapati telah diletakkan di beberapa unggun api dimana tulang haiwan disimpan kerana ia dipercayai mampu menguatkan lagi kuasa santau ini.
“Dengan memulaskan serta menusuk kepala dan bahagian bawah kaki anak ayam tersebut, si penyihir mahu melumpuhkan bahagian badan yang sama kepada mangsa,”

Beliau juga berkata terdapat dua orang pelaku bagi sihir ini. Hal ini kerana mereka mendapati ada dua jenis tulisan tangan yang berbeza pada pasu tersebut.
Melihat lokasi ia ditanam di bangunan yang digunakan oleh golongan artisan, Jessica menyimpulkan ianya berkait dengan pertelagahan di tempat kerja.
Ini kerana Agora merupakan ruangan awam yang berperanan sebagai pusat kebudayaan, kesenian, perdagangan, sosial dan spiritual negara-negara kota Yunani.