Kejadian banjir baru-baru ini di beberapa kawasan mengakibatkan banyak kerosakan dan kekotoran yang perlu dibersihkan dengan segera.
Sesi pembersihan perlulah dilakukan setelah air banjir mula surut untuk mengelak sebarang risiko penyebaran penyakit.
Berikut adalah enam langkah pembersihan ruang dalam rumah yang perlu dibuat selepas banjir.
1. Kenal pasti kerosakan
Pastikan anda periksa sama ada terdapat kerosakan struktur bangunan yang kelihatan seperti dinding retak atau runtuh sebelum memasuki rumah. Selain itu, barangan elektrik hendaklah diperiksa agar tiada berlaku sebarang lintar pintas. Ini bagi memastikan keadaan rumah selamat untuk dimasuki.
2. Sediakan peralatan pembersihan
Kerja pembersihan rumah sememangnya memerlukan peralatan kebersihan. Antara alatan yang perlu disediakan adalah seperti mop, baldi, tong sampah, sarung tangan getah, penyapu, berus, pisau utiliti dan plastik sampah.
3. Keluarkan sisa air
Takungan air di kawasan dalam rumah boleh dikeluarkan menggunakan kaedah pam air. Selain itu, anda juga boleh menggunakan water jet untuk membersihkan sisa lumpur atau tanah yang berada di dalam rumah selepas banjir.
4. Asingkan barang
Kebiasaannya banjir teruk akan mengakibatkan banyak perabot atau barangan rumah reput dan rosak, namun masih terdapat beberapa perabot atau barangan rumah yang mungkin boleh digunakan lagi. Oleh itu, sebaiknya anda mengasingkan barang yang sudah rosak dan masih berguna di tempat yang berbeza.
5. Bersihkan permukaan yang kotor
Langkah yang paling penting perlu dibuat ialah membersihkan seluruh kawasan yang disaluti lumpur dengan alat pembasmi kuman. Caranya mudah sahaja dengan menggunakan alat pencuci lantai dan kelengkapan seperti mop, berus dan baldi.
6. Pastikan rumah dapat pengudaraan yang baik
Buka pintu dan tingkap rumah untuk membolehkan udara kering dan segar menggantikan udara lembap. Ini menjadikan semuanya kering lebih cepat supaya proses pembersihan menjadi lebih mudah.
Anda juga dinasihati jangan keterlaluan apabila membersihkan rumah. Perlu dititikberatkan bahawa keseimbangan kesihatan fizikal dan emosi perlu dijaga dengan sebaik mungkin. Oleh itu, pastikan anda dan keluarga mendapatkan rehat yang secukupnya.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: