Pakej Ransangan Ekonomi Adalah Duit Rakyat Sendiri?

Seperti yang kita maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke lapan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) pada hari Jumaat yang lepas. Rata-rata berpuas hati dengan ransangan ekonomi yang dibentang oleh Tan Sri Muhyiddin itu.

Boleh dikatakan setiap golongan mendapat manfaat dan tidak ada pihak yang tertinggal. Ransangan ekonomi itu memperuntukkan sebanyak RM250 bilion. Ia merangkumi tiga matlamat iaitu matlamat pertama ialah lindungi rakyat, matlamat kedua sokongan perniagaan dan matlamat ketiga iaitu perkukuh ekonomi.

Sejurus pembentangan pakej tersebut, penulis blog dan juga bekas ketua pengarang akhbar iaitu Datuk Kadir Jasin memberi ulasan terhadap pakej ransangan itu menerusi tulisannya di Malaysia Kini. Ulasan yang bertajuk ‘Makcik Kiah Jangan Tertipu’ tampil mempertikaikan pakej ransangan itu.

Kadir menyatakan dalam ulasannya itu bahawa hanya 10 peratus atau sekitar RM22 bilion sahaja daripada RM250 bilion merupakan duit kerajaan. Yang selebihnya merupakan duit rakyat sendiri.

“Kalau kerajaan hanya peruntukkan RM22 bilion duit negara, dari manakah datang jumlah RM250 bilion yang Muhyiddin umumkan itu?

“Jawapannya adalah sebahagian besar mungkin hingga 90 peratus daripada jumlah RM250 bilion itu adalah kemudahan kewangan. Kemudahan kewangan tidak sama dengan peruntukan kewangan.

“Kalau begitu, dari manakah datangnya baki RM228 bilion pakej itu? Jawabnya daripada duit rakyat jelata sendiri yang wujud dalam berbagai-bagai bentuk dan di bermacam-macam tempat.

“Misalnya, RM100 bilion adalah dalam bentuk penangguhan bayaran balik hutang rakyat jelata kepada bank. Duit kita sendiri. Bank hanya tangguh sementara. Lambat laun kena bayar juga,” tulis Kadir Jasin.

Kesimpulan yang Kadir ingin sampaikan adalah beliau berharap supaya rakyat jangan cepat tertipu. Beliau mengatakan bahawa bantuan yang diberikan terlalu kecil dan tidak mencukupi untuk mengatasi malapetaka ekonomi ini. 

Kadir berpendapat kerajaan masih kedekut dan menyatakan bahawa peruntukan kewangan sebenar hanyalah sekitar RM22 bilion bukan RM250 bilion seperti yang diuar-uarkan. 

“Orang yang tidak faham ekonomi dan kewangan tentu seronok sebab dapat sedikit bantuan yang meringankan sedikit beban. Tapi orang faham ekonomi dan kewangan akan membuat analisis dan simulasi yang lebih luas dan mendalam,” tulis Kadir Jasin yang juga merupakan ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu.

Sebenarnya, rakyat perlu memahami bahawa ransangan ekonomi bukannya belanjawan. Ya, duit tersebut merupakan duit rakyat. Tetapi, duit itu memang perlu digunakan untuk rakyat semula jika kita menghadapi keadaan begini dan itulah yang diusahakan oleh kerajaan.

Tidak dinafikan kerajaan hanya menggunakan sekitar RM25 bilion daripada duit kerajaan, tetapi baki stimulus seperti pengecualian KWSP dan penangguhan hutang menyebabkan aliran tunai meningkat. Dengan adanya ransangan ini, orang ramai boleh menggunakan duit bantuan itu untuk berbelanja dan ekonomi kembali rancak. Perkara ini secara tidak langsung dapat membantu golongan peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS) setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat nanti.

Kita perlu tahu perbezaan ransangan ekonomi dan juga belanjawan. Janganlah rakyat mempertikaikan atau mengukur berapa jumlah duit kerajaan yang digunakan dalam ransangan ekonomi ini. Perkara ini kerana, hasil daripada ransangan ini juga yang memberi manfaat dan bantuan kepada kita semasa menghadapi situasi begini. Jika kerajaan tidak membantu, pada siapa lagi yang kita mahu harapkan.

Kita semua maklum yang ekonomi setiap orang pada waktu ini terganggu dek kerana penularan COVID-19 yang memerlukan kita semua mematuhi PKP. Jadi, kerajaan faham situasi yang sedang rakyat hadapi.

Oleh sebab itu, PRE ini merupakan usaha terbaik yang dilaksanakan oleh kerajaan pada waktu ini. Mungkin bantuan ini tidaklah banyak, tetapi cukuplah sekadar untuk menampung perbelanjaan serta keperluan semua sewaktu PKP ini. Kerajaan berusaha untuk bantu kita hadapi kesusahan ini bersama-sama.

Semoga seluruh rakyat Malaysia bersyukur dengan manfaat dan kebaikan yang kita perolehi menerusi PRE ini. Pihak kerajaan sedang merangka apa yang terbaik untuk kita semua dan marilah kita berganding bahu untuk mengatasi penularan COVID-19 ini dengan segera.