*Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Sumber: World Nomads
Papua New Guinea ialah sebuah negara di benua Oceania. Terletak berhampiran dengan daerah Papua di Indonesia, negara ini mempunyai beberapa buah bandar besar yang terkenal dalam kalangan para pelancong seperti Port Moresby, Arawa, Mount Hagen, Lae dan Madang.
Namun, apa yang membuatkan negara ini lebih unik adalah penggunaan pelbagai bahasa dalam kehidupan mereka.

Walaupun bahasa rasminya ialah bahasa Inggeris, sebahagian kecil sahaja daripada rakyat negara ini yang bertutur dengan menggunakan bahasa tersebut.
Papua New Guinea juga mempunyai rakyat yang menggunakan 800 jenis bahasa pertuturan. Apa yang lebih menarik adalah ia merangkumi 12 peratus daripada jumlah bahasa di seluruh dunia.
Untuk pengetahuan anda, Papua New Guinea memiliki kepadatan bahasa yang lebih besar daripada semua bangsa lain di bumi kecuali Vanuatu.
Bahasa asli yang paling banyak digunakan di sini ialah Enga dengan kira-kira 200,000 penutur diikuti rapat oleh Melpa dan Huli. Bahasa peribumi di negara ini juga dikelaskan kepada dua kumpulan besar iaitu Austronesia dan bukan Austronesia atau lebih dikenali sebagai Papua.
Terdapat empat bahasa rasmi di Papua New Guinea. Bahasa Inggeris, Tok Pisin, Hiri Motu dan bahasa isyarat Papua New Guinea turut diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara ini sejak 2015.
Seperti yang anda semua sedia maklum, Greenland yang terletak di antara Lautan Artik dan Lautan Atlantik ialah pulau terbesar di dunia. Namun, apa yang tidak diketahui ramai ialah pulau kedua terbesar di dunia ialah New Guinea.
Walaupun keindahan alam yang dimiliki New Guinea ini boleh dikatakan tiada tandingannya, ia masih sangat jauh ketinggalan dari segi ekonomi berbanding beberapa gugus pulau terkenal yang lain.
Penulis:
- Muhammad Amirul Asyraf Shamsuddin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
- Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.