Nasi Dagang Di Mersing, Pesaing Di Pantai Timur?

Apabila kita sebut tentang nasi dagang, apa yang kita selalu terlintas di dalam fikiran kita ialah negeri Kelantan atau Terengganu.

Tetapi pernahkah anda terfikir yang nasi dagang juga boleh didapati sejauh Mersing, di negeri Johor?

Waktu pagi di Nasi Dagang Mak Yah, Mersing.

Juga di sebelah pantai timur negara ini, tidak ramai yang mengetahui tentang daerah ini dari segi pensejarahannya, mahupun dari segi budaya di daerah ini. Budayanya serta loghatnya yang unik, menyebabkan ramai berpendapat ia daerah yang lain daripada yang lain di negeri Johor ini.

Mersing merupakan daerah ketiga terbesar dari segi keluasan, iaitu seluas 2,281 kilometer persegi, dengan populasi seramai 75,000 orang.

Kedudukannya yang terletak jauh dari timur, kira-kira 90 kilometer dari Kluang, Johor, menyebabkan ia jarang dilawati oleh orang terutamanya orang dari Pantai Barat.

Dengan kedudukan sejauh itu, tidak ramai yang mahu ke sana, ditambah pula dengan keadaan jalan yang berliku terutamanya di kawasan di Jemaluang.

Mersing datang dari perkataan loghat Terengganu, ngesing. Ada yang berkata ia berasal dari nama pokok mersinga, dan kemudiannya dipanggil daerah ini sebagai Mersing.

Mersing merupakan daerah yang sudah lama wujud walaupun ia dikenali sebagai daerah Mersing pada 1892 yang dibuka oleh Datuk Bentara Luar, Datuk Salleh bin Perang.

Pada tahun 1492, kapal yang membawa lari Tun Teja dari Pahang ke Melaka telah dikejar dan kemudian diserang oleh askar-askar Sultan Pahang di kawasan laut sekitar Pulau Keban (kini Pulau Aceh).

Menurut Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), suatu pertempuran telah berlaku di mana Hang Nadim telah berjaya mengalahkan askar-askar Sultan Pahang diperairan Pulau Keban di Teluk Sari.

Menurut Hikayat Hang Tuah pula, Hang Tuah lah yang telah memujuk Tun Teja untuk lari ke Melaka dan beliaulah yang telah menewaskan askar-askar Sultan Pahang di Pulau Keban. Nama Teluk Sari juga dikatakan berasal daripada nama keris Hang Tuah, Taming Sari, di mana perkataan Sari (SAH-ree) bermaksud perisai lindungan di mana di kawasan teluk tersebut telah dikatakan memberi perlindungan kepada Hang Tuah dari serangan askar-askar Sultan Pahang.

Selepas peristiwa tersebut, Tun Teja telah dimaklumkan bahawa beliau sebenarnya akan dipersembahkan untuk menjadi permaisuri kepada Sultan Melaka (Sultan Mahmud Shah). Tun Teja amat kecewa setelah mendengar khabar tersebut dan enggan mengahwini Sultan Melaka. Sirih jampi telah digunakan untuk menghilangkan perasaan cinta Tun Teja pada Hang Tuah.

Perairan antara Teluk Sari ke Pulau Tinggi menjadi saksi pujuk rayu dan luahan perasaan cinta terakhir Tun Teja kepada Hang Tuah sebelum beliau bersetuju untuk memakan sirih jampi yang disediakan.

Dikatakan bahawa fenomena bintang-bintang yang jelas kelihatan akibat keadaan ketiadaan awan antara perairan Teluk Sari ke Pulau Tinggi pada malam tersebut kekal wujud hingga ke hari ini sempena menandakan tempat berkuburnya cinta Tun Teja kepada Hang Tuah.

Dikatakan orang Mersing ini ramai yang berasal dari Terengganu. Penghijrahan orang Terengganu di kawasan Laut China Selatan sangatlah meluas, terutamanya di kepulauan Natuna (Pulau Bunguran), sehinggalah ke Sarawak (Kampung Terengganu di Santubong).

Jadi tidak terkejutlah kalau kita dapat jumpa nasi dagang di Mersing yang merupakan daerah yang berada di pantai Timur Semenanjung. Loghat orang Mersing pun lebih dekat dengan orang pantai Timur seperti loghat orang di Kuantan atau di Kemaman daripada loghat orang Johor yang terdapat di Johor Bahru mahupun Kluang.

Tempat yang dikatakan mempunyai nasi dagang yang sedap ialah Nasi Dagang Mak Yah, yang terletak di Kampung Bahagia, Mersing.

Kampung ini terletak berhampiran dengan Jeti Mersing, iaitu jeti di mana feri menuju ke Pulau Tioman.

Nasi dagang Mak Yah juga mempunyai cawangan iaitu di Pasar Awam di pekan Mersing.

Tetapi ada yang kata Nasi Dagang Kak Ju yang terletak di Mukim Tenglu lebih sedap. Mungkin faktor makan di tepi laut sambil memandang Pulau Setindan yang berada di hadapan jalan di kedai tersebut.

Ia dikatakan lebih mirip kepada nasi dagang Terengganu, memandangkan ramai orang Mersing ini pun bercakap dalam loghat campuran Johor dan Terengganu.