Pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendakwa kapal angkasa mereka berjaya masuk ke dalam atmosfera matahari.
Perkara ini merupakan satu pencapaian kerana belum pernah diterokai lagi.
Kapal angkasa, Parker Solar Probe itu melakukan sentuhan selepas berjaya memasuki atmosfera suria dikenali sebagai korona iaitu pada jarak 12 juta kilometer dari atas matahari.
Kapal angkasa itu turut berjaya menahan suhu 1,298 Celsius dan radiasi 500 kali ganda lebih kuat berbanding bumi.
Ini kerana matahari tidak mempunyai permukaan pepejal tetapi atmosferanya sangat panas, terhasil daripada bahan suria yang terikat oleh graviti dan daya magnet.
Parker Solar Probe dilancarkan pada 2018 untuk menerokai misteri matahari dengan mengembara lebih dekat dengannya.
Semasa penerbangan kelapan pada 28 April yang lalu, Parker Solar Probe menemui keadaan magnet dan zarah khusus pada 18.8 jejari suria (sekitar 8.1 juta batu) di atas permukaan.
Saintis berjaya mengesahkan bahawa kapal angkasa tersebut telah melintasi permukaan kritikal Alfvén untuk kali pertama selepas menunggu beberapa bulan untuk data itu kembali daripada kapal angkasa tersebut.
“Peristiwa penting ini bukan hanya memberi kita gambaran yang lebih mendalam tentang evolusi matahari dan impaknya terhadap sistem suria.
Malah semua yang kita pelajari tentang bintang ini juga mengajar kita lebih banyak tentang bintang-bintang di cakerawala,” ulas pentadbir bersekutu untuk Direktorat Misi Sains NASA, Thomas Zurbuchen dalam satu kenyataan.
Pencapaian tersebut adalah sebahagian daripada penyelidikan baharu yang yang menelan belanja sebanyak AS$1.5 bilion (RM6.34 bilion) oleh NASA.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: