Baru-baru ini, isu berkaitan hukum jual beli dalam Islam sering menjadi bualan orang ramai kerana semakin banyak peniaga di luar sana membuat taktik yang salah dalam perniagaannya.
Trend jual beli dari luar negara di media sosial seperti TikTok dan sebagainya sudah mula diamalkan di negara kita.
Akhirnya menyebabkan ramai yang terjebak mengikut trend tersebut sehingga tidak menyedari halal dan haram.
Berikut kami kongsikan tiga taktik berniaga yang salah dalam Islam.
1. Jual cedok

Ini merupakan salah satu jenis jual beli yang popular hari ini. Terdapat pelbagai produk yang dijual mengikut perniagaan masing-masing seperti alat solek, makanan, peralatan hiasan dan macam-macam lagi.
Trend ini dilakukan dengan cara peniaga akan mencedok barang jualan mereka mengikut jumlah yang dibayar pembeli secara rawak. Tambahan pula, pembeli tidak boleh memilih apa barangan yang mereka dapat.
Sekali pandang ia memang amat menarik perhatian tetapi jual beli sedemikian adalah haram.
Cedok-cedok adalah sama dengan jual beli mulamasah yang mana jelas struktur asasnya jualan berbentuk gharar. Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi.
2. Kotak misteri

Penjualan kotak misteri sangat mudah ditemui dalam portal jualan internet. Sebuah kotak misteri biasanya akan dijual dengan satu harga yang telah ditetapkan.
Namun begitu, pembeli tidak mengetahui barang apa yang dibelinya. Mereka juga akan memberikan peluang kepada pembeli untuk mendapatkan barang yang mahal seperti telefon pintar dengan menaikkan harga kotak misteri tersebut.
Di sini, sudah terang lagi bersuluh bahawa ada unsur perjudian di dalam jual beli. Haram bagi mereka yang ingin mencubanya.
Tambahan pula, pembeli mempunyai peluang yang tinggi untuk diperdaya oleh penjual yang sengaja memanipulasikan sentiment pembeli bagi mendapatkan sesuatu yang lebih bernilai.
3. Mesin tikam

Mesin tikam atau lebih dikenali sebagai claw machine adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi dalam memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut.
Perbuatan ini membiasakan diri pembeli untuk bergantung kepada nasib kerana konsep yang diketengahkan telah melanggar hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar.
Unsur khiar (pilihan) serta pertaruhan dalam sesuatu perniagaan melanggar prinsip jual beli dalam Islam dan sememangnya haram.
Sebagai kesimpulan, ramai lagi masyarakat kita di luar sana yang masih tidak peka dengan hukum jual beli dalam Islam.
Kita sebagai seorang muslim yang mengaku beriman serta berpegang dengan syariat Islam wajib mengawasi serta memastikan setiap perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian adalah selari dengan tuntutan syariat Islam.
Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjarakkan diri kita semua dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: