Beberapa hari lalu kecoh di media sosial termasuk Facebook mengenai satu perkongsian yang dimuat naik oleh pemilik akaun bernama, Mohd Solihin yang menunjukkan nama anak perempuannya yang unik dan panjang.

Nama anak gadis yang dikongsi itu ialah Nur Shafia Aaliya Zulaika Amira Naura Aurora Yeeha Cinta Binti Mohd Solihin. Nama anaknya yang sangat panjang ini mengundang perhatian daripada warganet yang terkejut melihat kepanjangan namanya itu.
Namun, Mohd Solihin kemudian tampil menjelaskan bahawa nama itu bukanlah nama sebenar anaknya akan tetapi hanyalah nama yang telah disunting untuk suka-suka. Nama sebenar anaknya hanyalah Nur Shafia Aaliya Binti Mohd Solihin.
“Nur Shafia Aaliya binti Mohd Solihin…nama sebenar, yang panjang-panjang tu edit suka-suka je…jangan marah ya,” kata Mohd Solihin.
Berikutan tularnya perkongsian ini, penulis tertanya juga apa agaknya nama terpanjang yang pernah didaftarkan secara sah di Malaysia.
Barulah penulis tahu, pemegang nama yang paling panjang di Malaysia setakat ini ialah Princess Aura Nurr Emily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Binti Mohd Suffian.
Panjang betul nama dia. Pasti letih tangan dia setiap kali nak tulis nama sendiri.

Untuk pengetahuan anda juga, Jabatan Pendaftaran Negara membenarkan nama bayi yang ingin didaftarkan tidak melebihi 80 aksara (huruf). Hal ini bermakna anda masih boleh menamakan anak anda dengan nama yang lagi panjang daripada nama Princess Aura ini.
Tapi persoalan yang penting sekarang bukanlah ‘mampukah anda’, akan tetapi mahukah anda? Kerana nama yang panjang akan turut memberi komplikasinya yang tersendiri pada pemilik nama itu.
Selain daripada Princess Aura, antara nama lain yang terpanjang ialah Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah Binti Airol Anizam. Manakala nama yang terpendek masih kekal milik seorang pelukis pelan, S Binti Rusli yang berasal dari Johor.
Pendek betul nama dia, satu huruf sahaja. Mesti amat cepat untuk dia isi nama dalam mana-mana borang.

Pada pendapat penulis, dalam menamakan anak, satu benda yang penulis pentingkan ialah maksud nama itu sendiri. Kepanjangan nama itu tidaklah begitu penting jika dibandingkan dengan makna nama itu sendiri.
Namakanlah anak-anak dengan nama yang baik. Menyebut nama itu juga merupakan sebentuk doa kita untuk dirinya. Insya-Allah dengan nama yang baik, anak itu pun akan menjadi seorang yang baik.
Wallahua’lam
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: