Musa Aman Bebas Tuduhan Rasuah Dan Ubah Wang Haram, Adakah Ia Keputusan Wajar?

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan untuk melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di negeri itu pada hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Azhar Abdul Hamid memaklumkan pihak mahkamah ketika prosiding bahawa pihak pendakwaan memohon untuk menggugurkan semua pertuduhan dalam kedua-dua kes yang dihadapi Musa.

Sementara itu, peguam yang mewakili Musa iaitu Francis Ng Aik Guan berkata kes itu perlu ada pengakhirannya dan memohon kepada pihak mahkamah untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap anak guamnya kerana bimbang tertuduh akan didakwa semula.

Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu Dato’ Muhammad Jamil Hussin kemudiannya melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada semua pertuduhan ketika prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

Bagi yang masih keliru, Musa menghadapi 30 pertuduhan kes rasuah sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah. Beliau didakwa sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah telah secara rasuah memperoleh suapan untuk diri sendiri daripada lapan pemilik konsesi balak membabitkan wang berjumlah AS$50.1 juta.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut menghadapi 16 pertuduhan iaitu membabitkan diri secara tidak langsung dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta daripada beberapa individu berdasarkan laporan Harian Metro.

Malaysiakini
Sumber: Malaysiakini

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Musa di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China serta Singapura antara 20 Disember 2004 sehingga 6 November 2008.

Tertuduh difahamkan telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram beliau melalui akaun bank di UBS AG yang dibuat atas nama Richard Christopher Barnes.

Sementara itu, tinjauan penulis di laman Twitter mendapati rata-rata warganet tidak bersetuju dengan keputusan tersebut:

Pada pendapat anda, adakah keputusan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah itu daripada semua pertuduhan yang disabitkan terhadapnya merupakan satu tindakan yang wajar?