Kita sering dimomokkan dengan idea-idea yang mengatakan bahawa MSG dapat memberikan kesan sampingan terhadap kesihatan tubuh badan kita.
Hakikatnya, tidak ada kajian secara saintifik yang dapat membuktikan bahawa MSG itu dapat membahayakan kesihatan.
MSG ialah singkatan daripada monosodium glutamate, yang juga dikenali dengan kod E621, merupakan bahan tambahan digunakan dalam masakan untuk menaikkan rasa dalam makanan.
Bahan ini mengandungi asid glutamik yang seterusnya ditambah dengan komponen natrium (NaCl) untuk meneutralkan asid glutamik tersebut.
Kebiasaannya, MSG digunakan dalam penghasilan makanan segera, makanan snek, mi segera, makanan sejuk beku dan juga perencah makanan.
Komponen MSG juga boleh didapati dalam makanan seharian kita seperti rumpai laut, cendawan, ubi kentang, kicap, dan juga daging. Malahan, susu ibu juga didapati mengandungi MSG.
Penggunaan MSG dapat memberikan rasa umami yang merupakan rasa asas yang kelima selain manis, masam, masin dan pahit.
Rasa umami ini diungkapkan sebagai rasa yang seakan-akan daging atau lebih dikenali sebagai savoury.
MSG sebenarnya tidak mempunyai rasa yang spesifik kerana bahan ini hanyalah sekadar penambah perasa yang tersedia ada pada makanan.
Mitos tentang MSG mula tersebar apabila seorang pakar perubatan bernama Robert Ho Man Kwok memperkenalkan istilah Chinese Restaurant Syndrome atau juga dikenali sebagai Sindrom Restoran Cina.
Istilah ini dinamakan Chinese Restaurant Syndrome kerana MSG merupakan salah satu bahan yang penting dalam hidangan Asia terutamanya makanan orang Cina.
Hal ini berikutan daripada Robert Ho Man Kwok yang merasakan simptom-simptom seperti jantung yang berdebar, badannya terasa lemah dan juga merasakan kekebasan setelah memakan hidangan dari restoran Cina dalam kuantiti yang banyak.
Robert Ho Man Kwok memutuskan bahawa simptom yang dialaminya itu berpunca daripada MSG yang terkandung dalam makanan tersebut.
Sebuah eksperimen kemudiannya dijalankan dengan menyuntikkan MSG pada otak tikus makmal dalam kadar yang berlebihan.
Hasil daripada suntikan MSG sebanyak 25,000 miligram per kilogram, tikus-tikus makmal tersebut mula mengalami masalah obesiti serta masalah dari segi pembiakan.
Hasil kajian ini tidak relevan kerana jumlah dos yang disuntikkan pada tikus-tikus tersebut melebihi daripada sukatan yang biasanya digunakan dalam masakan.
Para saintis juga telah melakukan kajian terhadap manusia dan hasilnya, hanya sekumpulan kecil sahaja yang merasakan simptom-simptom yang ringan, walaupun mengambil MSG dalam kadar yang berlebihan.
Secara kesimpulannya, pengambilan MSG secara berkadar sudah memadai kerana jika diambil dalam kuantiti yang banyak, ianya dapat memudaratkan kesihatan.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: