Jepun sememangnya sangat terkenal dengan tarikan-tarikan yang cantik dan menarik. Namun, negara matahari terbit ini juga terkenal dengan mitos-mitos serta tempat yang berhantu.
Siapa sangka salah satu tempat yang berhantu di Jepun bukanlah sekadar rumah atau tanah perkuburan, tetapi sebuah terowong.
Terowong Kiyotaki merupakan sebuah terowong satu hala yang menghubungkan jalan dari Arashiyama utara ke sebuah bandar bernama Sagakiyotaki.
Terowong itu sering dikait rapat dengan kisah-kisah hantu, nasib malang serta aktiviti-aktiviti paranormal.
Terowong Kiyotaki pada mulanya dibina pada 1927 sebagai sebahagian daripada landasan kereta api Atagoyama dan siap dibina pada tahun 1928.
Walaupun sesetengah orang menganggarkan panjang terowong tersebut adalah kurang lebih 500 meter, ramai yang mempercayai bahawa panjang sebenarnya ialah 444 meter.
Angka empat merupakan salah satu nombor yang dikatakan bernasib malang mengikut kepercayaan orang-orang Asia Timur kerana perkataan tersebut kedengaran hampir sama dengan perkataan yang bermaksud ‘mati’ dalam banyak bahasa.
Mereka juga mempercayai bahawa proses pembinaan terowong tersebut sangatlah menggerunkan kerana bukan sahaja para pembina tidak dibayar gaji, tetapi ramai pekerja telah mengalami kecederaan dan ada juga yang meninggal dunia.
Banyak insiden juga dikatakan berlaku di terowong tersebut seperti kemalangan kereta api, kes bunuh diri dan juga kes pembunuhan.
Ada juga yang mengatakan bahawa sebelum tapak tersebut dibina menjadi sebuah terowong, terdapat sebuah kisah tentang seorang pahlawan yang mati ketika berperang di lokasi tersebut.
Namun, masih tiada siapa yang mengetahui kisah sebenar mengapa terowong berkenaan berhantu.
Antara kisah-kisah menyeramkan yang akan berlaku ketika melalui terowong tersebut adalah terdapat seorang wanita dengan ekspresi yang pelik dan menyeramkan akan berkeliaran di sekitar terowong tersebut.
Wanita itu dikatakan akan melompat ke atas kereta yang melintasi atau hanya kedengaran suara mengilai yang bergema di sekitar terowong tersebut.
Ada juga yang mengalami simptom-simptom yang aneh ketika melalui terowong tersebut seperti terasa pening dan mual, atau rasa sakit kepala secara tiba-tiba.
Sesetengah juga mengatakan bahawa perjalanan di dalam terowong itu akan terasa lebih panjang daripada biasa dan lampu isyarat di dalam terowong tersebut juga akan bertukar secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kemalangan.
Salah satu pantang larang yang harus dielakkan ketika melalui terowong tersebut ialah elakkan daripada melihat cermin-cermin yang ada di sekitar terowong tersebut dan juga cermin di dalam kereta anda.
Hal ini dipercayai kerana sesiapa yang melihat cermin walaupun hanya sekadar mengerling, akan ternampak entiti seram yang terpantul dalam cermin tersebut.
Namun, sejauh mana kebenaran kisah terowong berhantu Kiyotaki ini masih tidak diketahui lagi.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: