Sudah dua minggu selepas pemilihan calon presiden untuk parti Demokrat, selepas pemilihan caucus Iowa dan pemilihan di New Hampshire, nama Michael Bloomberg mula disebut oleh media utama di Amerika Syarikat untuk bersaing dalam pemilihan kali ini, menentang Presiden Donald Trump.
Bloomberg, berusia 77 tahun, merupakan datuk bandar New York pada tahun 2002 hingga 2013, merupakan pemilik syarikat media Bloomberg LP, merupakan orang ke-14 paling kaya di dunia dengan kekayaan berjumlah $60 billion (RM249 billion).
Dalam persaingan pemilihan di New Hampshire semalam, senator dari Vermont, Bernie Sanders telah memenangi pemilihan tersebut.
Bernie Sanders dilihat sebagai calon pilihan golongan muda, terutamanya pelajar universiti dan pengundi golongan minoriti, namun beliau tidak digemari oleh golongan elit dalam Parti Demokrat kerana dasarnya yang menolak agenda neoliberal.
Selepas bekas naib presiden Amerika Syarikat, Joe Biden gagal menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam pemilihan di Iowa dan New Hampshire, media kini memberi fokus kepada Bloomberg dalam memastikan kemenangan Demokrat menentang Donald Trump pada November nanti.
Kemasukan Bloomberg dalam persaingan pemilihan kali ini agak lambat, menyebabkan nama beliau tidak tersenarai dalam pemilihan di empat buah negeri terawal iaitu Iowa, New Hampshire, Nevada dan Carolina Selatan.
Pun begitu, beliau akan mula memasuki pemilihan pada Super Tuesday, pada 3 Mac ini.
Super Tuesday merupakan hari pemilihan yang paling banyak, di mana kali ini 15 buah negeri, dengan dua negeri paling ramai penduduk – California dan Texas akan menganjurkannya.
Setakat ini, Bloomberg sudah membelanjakan $300 juta (RM1.2 billion) untuk tujuan pengiklanan – yang paling terbesar setakat ini.
Sebagai perbandingan, Donald Trump hanya membelanjakan $116 juta (RM479 juta) sejak mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya presiden pada tahun 2017 yang lalu.
Bloomberg juga menyatakan beliau bersedia untuk membelanjakan sebanyak $2 billion (RM8.27 billion) dalam memastikan Demokrat memenangi pilihan raya kali ini.
Jika ini berlaku, ini merupakan pilihan raya paling mahal dalam sejarah – sebagai perbandingan, pada tahun 2016, Hillary Clinton membelanjakan sebanyak $768 juta (RM3.16 billion) dan Donald Trump sebanyak $398 juta (RM1.6 billion).
Pun begitu, Bloomberg masih lagi di belakang dua pencabar utama dari segi pungutan suara, menurut tinjauan dari pelbagai sumber seperti FiveThirtyEight dan RealClearPolitics, dengan mendapat sekitar 13-15% pengundi menyokongnya.
Beberapa calon Demokrat, terutamanya yang progresif seperti Bernie Sanders dan Elizabeth Warren mengkritik Bloomberg kerana dilihat seperti mahu ‘membeli’ pemilihan presiden Demokrat dengan membelanjakan billion dolar untuk kempen.
Parti Demokrat kali ini terbahagi dua, iaitu puak progresif seperti Sanders dan Warren, serta beberapa ahli Kongres seperti Rashida Taleb, Alexandria Ocasio-Cortez dan Ilhan Omar, sementara puak establishment seperti Nancy Pelosi dan Chuck Schumer.
Selepas kekalahan pilihan raya presiden 2016, Demokrat dilihat seperti hilang punca, terutamanya tewas dengan Donald Trump, yang dilihat pada ketika itu sebagai ‘calon badut’ dan tidak akan mampu memenangi pemilihan pada masa itu.
Kegagalan Demokrat membaca mood pengundi, terutamanya di kawasan Midwest, di negeri-negeri seperti Ohio, Wisconsin, Michigan dan Pennsylvania, dikenali sebagai “Rust Belt” kerana kemerosotan industri di kawasan tersebut sejak 1980an, menyebabkan mereka tewas teruk pada 2016.
Sementara puak progresif dilihat cuba untuk memimpin Demokrat dalam pemilihan kali ini, puak establishment, terutamanya pemilik-pemilik media seperti CNN, MSNBC dan Bloomberg sendiri merupakan pemilik konglomerat media, Bloomberg News – mahu calon yang meneruskan orde dari establishment yang dibina sejak zaman Bill Clinton.
Dan sudah semestinya dasar-dasar s0sialis dari Bernie Sanders tidak akan digemari oleh golongan establishment, terutamanya orang seperti Bloomberg.
Pemilihan seterusnya akan berlangsung di Nevada pada 22 Februari ini, dan di Carolina Selatan pada 29 Februari.