Seperti yang kita ketahui, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Ia diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ke-8 iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020.

Sejurus pengumuman itu dibuat, terdapat universiti awam mengeluarkan pekeliling tentang penangguhan kuliah dan juga pengosongan kolej kediaman.
Perkara ini membuatkan para pelajar panik untuk bergegas pulang ke kampung halaman masing-masing. Pelajar mengambil inisiatif sendiri untuk bergegas pulang kerana mereka disuruh untuk mengosongkan kolej mereka.
Hal ini menyebabkan terminal pengangkutan awam seperti Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dibanjiri oleh pelajar dan juga orang awam untuk pulang ke kampung.
Situasi itu jelas merunsingkan banyak pihak kerana dengan kesesakan yang berlaku sebegitu rupa boleh mendorong penularan wabak COVID-19. Bayangkan jika terdapat salah seorang yang berada di situ positif COVID-19, sudah pasti orang yang berada di sekeliling itu berisiko tinggi untuk dijangkiti juga.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi yang diketuai oleh menterinya iaitu Dato’ Dr. Noraini Binti Ahmad tidak mengeluarkan sebarang kenyataan pada awalnya sehinggalah lewat petang dan malam 17 Mac 2020. Dr. Noraini mengeluarkan satu kenyataan di media sosial peribadinya iaitu Facebook dan juga Twitter.
Saya minta semua mahasiswa di kampus terus bertenang.Kita maklum dgn arahan larangan pergerakan dan pekeliling…
Posted by Dato' Dr. Noraini Ahmad on Tuesday, March 17, 2020
Kenyataan di Facebook beliau meminta agar semua mahasiswa di kampus terus bertenang. Beliau mengatakan bahawa beliau maklum tentang beberapa Universiti Awam minta pelajar kosongkan kolej.
“Kita maklum dengan arahan larangan pergerakan dan pekeliling pentadbiran yang dikeluarkan beberapa universiti awam untuk mahasiswa mengosongkan kampus.”
Beliau meminta untuk pihak universiti menyediakan penempatan kepada para pelajar dan tidak pulang ke kampung secara tergesa-gesa.
“Namun, tindakan pulang tergesa-gesa dikhuatiri akan mengeruhkan keadaan dan mahasiswa akan lebih terdedah kepada wabak jika tidak melalui pamantauan yang rapi.
Saya meminta supaya pihak Institut Pengajian Tinggi menyediakan penempatan sementara kepada para pelajar yang menghadapi kekangan untuk pulang ke kampung halaman.”
Beliau berharap pihak universiti memastikan memberi bekalan makanan kepada pelajar di kolej semasa tempoh PKP berlaku dan beliau juga meminta pelajar untuk peka dengan segala arahan yang di keluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dari semasa ke semasa.
Sejurus kenyataan ini dibuat, ramai pengguna laman sosial Facebook mempersoalkan mengapa Dr. Noraini mengeluarkan kenyataan agak lewat dan kebanyakkan pelajar sudah pun pulang ke kampung halaman masing-masing.


Kenyataan Dr. Noraini dan sesetengah universiti awam juga mengelirukan kerana pihak universiti meminta pelajarnya untuk kosongkan kolej manakala Dr. Noraini meminta universiti menyediakan penempatan dan tidak menggalakkan pelajar untuk pulang secara tergesa-gesa.
Perkara ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelajar dan pelajar tidak tahu apa sepatutnya dilakukan oleh mereka. Jika arahan pihak universiti dan juga kementerian selaras, mungkin pelajar tidak panik untuk pulang ke kampung masing-masing.
Menjawab komen dan persoalan yang dilemparkan orang ramai, Dr. Noraini menjelaskan sebab beliau lambat mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini di laman Twitter miliknya.
Ramai yang tweet dkt saya knp lambat keluar arahan.
— Noraini Official (@DrNorainiAhmad) March 17, 2020
Sebenarnya, dlm situasi begini, segala arahan adalah drpd Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri2 yang lain selain drpd Menteri Kesihatan dielakkan drpd kluarkan kenytaan supaya rakyat tidak keliru dgn pelbagai kenyataan.
Beliau menerangkan bahawa segala arahan adalah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Menteri selain daripada Menteri Kesihatan perlu elak untuk mengeluarkan kenyataan supaya rakyat tidak keliru dengan pelbagai kenyataan.
Diharapkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi menjadikan perkara ini sebagai satu cabaran dan pengajaran untuk menjadi lebih baik. Perkara ini terjadi kerana mungkin ada sesetengah perkara yang masih belum utuh dalam kementerian kerana pelantikan tidak sampai pun dua minggu. Pihak kementerian perlu diberi sedikit masa untuk memperbetulkan kepincangan.
Penulis juga berharap kepada rakyat Malaysia agar memberi peluang kepada YB Dato’ Dr. Noraini untuk mengetuai Kementerian Pengajian Tinggi. Penulis yakin beliau mempunyai kemampuan yang baik untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan ini.
Apa-apa pun isu pelajar balik ke kampung sudah pun selesai, pada waktu ini seluruh rakyat Malaysia perlu ikut dan akur Perintah Kawalan Pergerakan. Perkara ini amat penting untuk kita bekerjasama dalam membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak dan tidak terkawal. Penulis yakin negara kita dan seluruh dunia akan dapat membendung penularan wabak ini dengan segera.