Menolak Teknologi Moden, Kenali Gaya Hidup Orang Amish

Buat mereka yang pernah menonton filem terkenal Witness pada tahun 1985, pasti sudah tidak asing lagi dengan gaya kehidupan golongan Amish yang majoritinya duduk di Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Terdapat juga sebahagian daripada mereka yang tinggal di sekitar New York, Ohio, Indiana, Wisconsin dan Otarion di Kanada.

Golongan Amish merupakan golongan yang masih berpegang kepada budaya mereka dan hidup dalam kehidupan yang tidak berpandukan teknologi moden.

Kisah bermula pada tahun 1525, di mana Gerakan Anabaptist mula wujud dan ia merupakan gerakan radikal yang paling dibenci oleh pihak gereja Katolik dan Protestant.

Golongan ini akan melakukan upacara penyucian ataupun baptism untuk individu yang sudah dewasa. Hal ini bertentangan dengan ajaran majoriti penganut Kristian yang melakukan upacara tersebut semasa bayi.

Gerakan itu dikenali kerana mengamalkan upacara penyucian yang terlampau ekstrem seperti melemaskan dan membunuh. Hal ini membuatkan beberapa penganut melarikan diri ke Pennsylvania.

Seorang paderi, Jakob Ammann kemudian telah menubuhkan Gereja Amish pada tahun 1600.

Gereja Amish kini mengamalkan upacara penyucian pada usia 16 hingga 25 tahun. Golongan ini percaya bahawa Bible merupakan kata-kata mutlak dari Tuhan dan merupakan panduan hidup.

Orang Amish bertutur menggunakan bahasa Jerman dialek Belanda Pennsylvania, bahasa Jerman Tinggi dan bahasa Inggeris.

Mereka menolak sebarang kemajuan teknologi masa kini seperti kenderaan, internet, elektrik, telefon bimbit dan banyak lagi.

Hal ini kerana, teknologi itu semua dianggap boleh melalaikan mereka dengan hal duniawi sehingga membuatkan mereka semakin jauh dengan Tuhan.

Walau bagaimanapun, ada beberapa teknologi yang mereka gunakan tetapi ianya terhad dan bila perlu sahaja.

Mereka menitikberatkan hubungan akrab sesama komuniti dan melarang sikap individualistik. Oleh sebab itu, hubungan sesama mereka di dalam komuniti sangat rapat.

Sebarang permasalahan yang dihadapi akan terus dirujuk sesama sendiri.

Golongan ini hanya boleh berkahwin sekali seumur hidup dan majoriti daripada mereka mempunyai anak yang ramai antara tujuh dan lapan orang.

Bagi pendidikan pula, anak-anak golongan Amish akan bersekolah sehingga usia 14 tahun sahaja. Selepas itu mereka akan terus masuk ke dalam pendidikan vokasional seperti bertukang dan bertani oleh keluarga mereka sendiri.

Anak-anak Amish akan diraikan dalam acara Rumspringa iaitu acara menyambut akil baligh. Pada waktu itu, mereka akan diberi pilihan untuk kekal bersama komuniti atau keluar.

Di samping itu, buat mereka yang melakukan sebarang kesalahan. Pesalah itu akan dihukum oleh pihak Gereja. Antara hukuman yang paling popular ialah pemulauan.

Kesan daripada hukuman tersebut dikatakan akan turut beri tempias pada keluarga pesalah.

Sememangnya kehidupan golongan Amish ini sangat menarik dan mereka dikatakan merupakan penduduk yang sangat baik dan menghormati orang lain.

Sumber: The Patriots