Masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak sememangnya berbangga dengan adat dan tradisi nenek moyang mereka iaitu mencacah tatu di tubuh badan mereka.
Namun begitu, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa tradisi unik ini sebenarnya membawa maksud yang lebih dari itu dan melambangkan identiti dan jati diri asal usul mereka.
Di Sarawak, budaya bertatu atau ‘pantak’ ini pernah menjadi suatu kemestian bagi menandakan keberanian dan kepahlawanan seseorang lelaki Iban. Selain itu, ukiran tatu ini juga dijadikan sebagai azimat atau pendinding bagi masyarakat Iban.
Difahamkan pada zaman nenek moyang mereka dahulu, tatu merupakan satu pemberian atau hadiah kepada seseorang lelaki dalam upacara ‘bejalai‘. Pengembaraan ‘bejalai‘ mereka dianggap berjaya jika dapat menyelesaikan sesuatu masalah, matang dan mampu menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan sepanjang merantau. Tatu tertentu juga akan diberikan sekiranya mereka berjaya dalam tradisi ‘ngayau‘ atau memenggal kepala musuh.
1.Tatu Bungai Terung

Kebiasaannya, tatu bungai terung ini dicacah pada kedua-dua bahu lelaki Iban kerana melambangkan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang lelaki. Tatu ini dikatakan mempunyai semangat spiritual yang tinggi malahan memberi kekuatan kepada si pemiliknya.
Selain itu, tatu yang diukir di keliling pinggang membawa maksud individu tersebut telah mempunyai banyak pengalaman dalam hidupnya sekaligus menunjukkan ia seorang yang berpengetahuan luas. Manakala, corak pusaran ‘perut berudu’ pada tengah tatu bungai terung melambangkan kehidupan baru.
2. Tatu Ukir Rekung

Tatu ukir rekung pula diukir pada leher membawa makna leher dalam bahasa Iban. Mengikut adat masyarakat Iban zaman dahulu, tatu ukir rekung ini melambangkan kedudukan dan pangkat seseorang individu seperti Temenggung, Panglima atau orang tua-tua di kampung halaman.
Difahamkan motif tatu ukir rekung ini berbeza-beza mengikut daerah, pangkat dan kedudukan, tetapi kebanyakkannya menggunakan motif haiwan dan serangga seperti kupu-kupu, kala jengking dan ketam.
Tatu ini hanya dicacah pada suku kaum Iban, Kayan dan Taman sahaja kerana jika dilakukan oleh Suku kaum Dayak, mereka akan dikenakan hukuman adat. Namun pada zaman kini, peraturan ini sudah tidak lagi diamalkan.
3. Tatu Ketam Itit Kelingai

Tatu lain seperti tatu ketam itit kelingai pula, kebiasaannya akan dicacah pada bahagian belakang badan, betis atau paha. Bukan itu sahaja, tatu corak ini melambangkan bahawa manusia tidak terlepas daripada alam dan bumi manakala bagi tatu kelingai bermotifkan ketam, ia selalunya dicacah di bahagian belakang punggung.
4. Tatu Buah Andu, Bunga Engkabang dan Bunga Tengkawang

Tatu yang berasaskan flora ini melambangkan sumber kehidupan seperti tatu bunga tengkawang akan dicacah di bahagian atas perut. Dikatakan bunga tengkawang ini banyak terdapat di kawasan penempatan kaum Iban, lalu dijadikan motif untuk membuat tatu.
Motif buah andu pula kebiasaannya dicacah pada belakang paha yang menandakan perjalanan hidup ini adalah jauh dan merupakan sumber untuk meneruskan kehidupan.
Ini hanyalah merupakan kajian dan pendapat yang dibuat oleh penulis sahaja.