Mengkaji Ulam Raja, Pensyarah UKM Temui Penawar Penyakit Nyanyuk Berkesan

Kalau anda biasa makan bersama orang tua, memang tak sah kalau tiada sayur ulam yang dihidang bersama nasi dan lauk. Tapi tahukah anda, rupa-rupanya, selain daripada penyedap makanan dan pelawas perut, sayur seperti Ulam Raja juga mempunyai potensi untuk menjadi penawar kepada penyakit hilang ingatan dan nyanyuk.

Seperti yang kita tahu, ingatan manusia jika tidak diasah biasanya akan menjadi makin tumpul apabila meningkat dewasa. Paling kronik sehinggakan boleh membawa kepada penyakit nyanyuk atau hilang ingatan seperti Alzheimer.

Namun baru-baru ini seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernama Dr You Yee Xing, 28, telah menemui penawar berkesan untuk hilang ingatan yang berbentuk suplemen dibuat daripada Ulam Raja.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr You Yee Xing telah menemui penawar berkesan untuk penyakit nyanyuk

Beliau telah membangunkan suplemen Ulam Raja yang kaya dengan kandungan polifenol dan antioksidan. Suplemen ini mampu meningkatkan tahap glutation serum dan mengaktifkan otak bagi membantu untuk mengelakkan kemerosotan kognitif.

Kata beliau, “Fungsi kognitif dalam kalangan warga emas akan berkurangan mengikut usia.

“Untuk mengurangkan risiko demensia dan penurunan kognitif, saya menghasilkan suplemen ini untuk orang dewasa yang lebih tua dan menyiasat keberkesanannya terhadap peningkatan kognitif.

Beliau kemudiannya telah menjalankan satu kajian yang melibatkan 48 orang dewasa berumur antara 60 dan 75 dengan gangguan kognitif ringan.  Mereka diberikan dan dijadual untuk mengambil suplemen itu selama 12 minggu

 “Dua puluh empat daripada mereka diberi suplemen ulam raja untuk dimakan, manakala 24 lagi diberi plasebo,” tambahnya.

Kata beliau, bagi mengekalkan ketelusan sepanjang ujian klinikal, beliau dan peserta tidak dimaklumkan mengenai pengagihan suplemen tersebut. Lipid serum puasa peserta, gula dalam darah, buah pinggang, dan fungsi hati telah diperiksa pada awal dan akhir kajian untuk melihat sama ada suplemen itu selamat digunakan.

Penyelidik kemudiannya menggunakan pengimejan resonan magnetik berfungsi (fMRI) untuk menilai kebolehan kognitif subjek sebelum dan selepas mereka mengambil suplemen tersebut.

“Mereka yang mengambil suplemen itu mempunyai peningkatan yang ketara dalam pengaktifan otak berbanding mereka yang mengambil plasebo.

“Suplemen itu juga meningkatkan fungsi kognitif global, memori kerja, dan mengurangkan tekanan dan gangguan mood.

“Telah terbukti bahawa Ulam Raja, yang tinggi dengan antioksidan dan nutrien lain, boleh membantu mencegah kemerosotan kognitif di kalangan warga emas,” dakwanya.

Suplemen Ulam Raja yang kaya dengan kandungan polifenol dan antioksidan dapat mencegah penyakit nyanyuk dalam kalangan warga emas.

Tumbuhan ini telah terbukti berkesan dalam mencegah kehilangan ingatan dan meningkatkan fungsi kognitif di kalangan warga emas.

Beliau berkata bahawa memakan Ulam Raja bukanlah amalan biasa bagi dirinya, dan bahawa dia mula-mula teragak-agak untuk mengkaji perkara itu apabila ia mula-mula dimaklumkan kepadanya. Bagaimanapun, selepas melakukan penyiasatan yang mendalam, beliau mendapati faedah dan khasiat yang terkandung di dalam sayur tersebut.

Dalam bidang pengajian ini, beliau telah menghasilkan 23 kertas kerja dalam jurnal terkenal, termasuk artikel jurnal, kertas persidangan, dan bab buku.

“Saya berbesar hati kerana berpeluang menamatkan ijazah dan PhD di UKM.

“Universiti telah membantu saya dalam merealisasikan cita-cita saya dan menentukan masa depan saya,” sambungnya.

You telah dianugerahkan Anugerah Emas Kedoktoran daripada universiti untuk tesisnya bertajuk “Suplemen Cosmos Caudatus sebagai model penggunaan ulam untuk meningkatkan fungsi kognitif dalam kalangan gangguan kognitif ringan warga emas” semasa majlis konvokesyen ke-49 UKM pada 27 Nov.

Dr You menerima Anugerah Emas Kedoktoran. Sumber: Facebook UKM

Warganet juga memberikan respon yang positif terhadap kajian ini. Memandangkan Malaysia ialah negara yang kaya dengan ulam dan herba, amalan pemakanan Ulam Raja sudah sebati dalam masyarakat kita. Dan seperti penulis yang tahu makan saja, sesetengah warganet juga berasa teruja apabila dapat mengetahui akan khasiat yang ada di balik Ulam Raja ini.

Sumber: Facebook UKM

Hebat bukan? Ada sebab rupanya kenapa orang-orang tua menyuruh kita untuk kita banyakkan makan ulam. Nampaknya lain kali kalau orang suruh makan Ulam Raja, masa untuk tapau semua lah. Kasi kuat itu otak.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: