Mengeteh Bersama Kyoto Protocol

Kyoto Protocol adalah kugiran yang popular di sekitar awal 2010an menerusi lagu “Gimme Nothing” dan “Delta Wing” yang popular di cecorong BFM, dan menyertai pertandingan Versus. Teh Tarik Gelas Besar berasa bertuah kerana mereka sudi untuk dibualcara. Berikut adalah bualcara eksklusif kami dalam segmen Mengeteh: Bersama Kyoto Protocol.


TTGB


Hi, Kyoto Protocol! Terima kasih kerana sudi dibualcara oleh kami di Teh Tarik Gelas Besar. Soalan ringan-ringan, boleh kitorang tahu korang berasal dari mana, sekolah mana, alumni universiti, serta namakan album terbaik bagi korang (tempatan dan antarabangsa), dan filem terbaik korang (tempatan dan antarabangsa).


KYOTO PROTOCOL


Buat masa sekarang, kami semua menetap di sekitar Lembah Kelang.


Fuad: Lahir di Singapura, pindah ke Mantin masa umur 14 tahun, bersekolah di Singapura sebelum pindah ke Mantin (sekolah asrama), belajar universiti di UK. Album tempatan terbaik bagi saya ialah Love Me Butch – Worldwide Transgression, sementara album antarabangsa pula ialah Soundgarden – Superunknown. Filem tempatan bagi saya yang terbaik ialah Jagat (2015), dan antarabangsa ialah Crash (2004).


Sanjeev: Saya berasal dari Melaka, bersekolah di SMKSS17 Subang Jaya, belajar di MMU Cyberjaya. Album tempatan terbaik bagi saya ialah Seven Collar T-Shirt – The Great Battle, manakala antarabangsa ialah self-titled album dari Bon Iver. Filem tempatan terbaik bagi saya ialah Songlap (2011) sementara antarabangsa ialah Shawshank Redemption.


Shakeil: Berasal dari KL, bersekolah di Sekolah Sri Inai, Ulu Klang. Alumni universiti di HELP Institute, album tempatan terbaik saya ialah Zainal Abidin – 1 (klasik 90s!), manakala antarabangsa ialah Earth, Wind and Fire All N’ All. Filem terbaik bagi saya kalau tempatan, Puteri Gunung Ledang, sementara antarabangsa ialah Snatch (2000).


Hairi: Saya berasal dari Kedah, bersekolah di SMK Wangsa Melawati, belajar di UNITEN, album tempatan terbaik ialah Butterfingers – Transcendence, sementara antarabangsa Bloc Party – Silent Alarm. Filem tempatan terbaik ialah Ibu Mertuaku (1962), sementara antarabangsa Zombieland (2009).


Gael: Berketurunan Perancis yang lahir di Singapura, tetapi membesar di Kuala Lumpur. Bersekolah di International School of Kuala Lumpur, belajar di UK, album tempatan terbaik ialah Butterfingers – Transcendence, sementara antarabangsa A Perfect Circle – Mer de Noms. Filem terbaik tempatan ialah Sepet (2004), manakala antarabangsa Inception (2010).


TTGB

Bila masanya korang mula berjumpa dan korang mula bercadang nak jadi sebuah band? Dan siapa cadangkan nama Kyoto Protocol?

KYOTO PROTOCOL

Saya and Shakeil berkawan sejak muda lagi, zaman sebelum Facebook. Masa tu, kami memang ingat nak main sahaja. Main counterstrike, main muzik, dan selain-nya. Shaq bercita-cita untuk jadi pemuzik sejak dari muda lagi. Kemudian, masa cuti sekolah masing masing, Shaq cadangkan untuk menubuhkan sebuah band, dan cuba dapatkan gig main covers zaman grunge di venue venue kecil. Secara tidak dijangka, gig pertama itu dapat mencapai kejayaan dengan ramai kawan-kawan yang hadir. Semenjak itu, saya bertambah yakin dalam kebolehan kami sebagai band.

Walau bagaimanapun, kami terpaksa berhenti sementara melanjutkan pelajaran masing masing di tempat yang berbeza. Selepas habis belajar, kami semua pulang ke KL dan buat keputusan untuk sambung semula bermain muzik. Namun ketika itu, ada member lama yang tak dapat menyertai semula ban kami, jadi kami terpaksa cari member baru. Melalui forum pemuzik, Hairi dan seorang lagi menjawab iklan kami untuk gitaris. Selepas uji bakat, Hairi dipilih sebagai gitaris baru sebab dia yang paling selaras dengan genre muzik yang kami kejar. Kemudiannya, Shan pula serta kugiran kami. Shan boleh dikatakan agak terkenal di dunia pemuzik indie, dari band-band yang dia sertai sebelum ini.

Dengan ahli dan matlamat yang baru, kami sedar bahawa kami memerlukan nama baru juga. Saya mencadangkan “Redux Initiative”, yang sepatutnya menerangkan gaya muzik kami, tetapi yang lain rasa nama itu tidak sesuai sebab bunyinya macam nama rasmi. Seperti “Kyoto Protocol”, atau “Geneva Convention”. Saya pula terminat dengar kedua nama itu. Kami terus mengundi untuk nama kegemaran kami dan kalau tidak silap semua ahli memilih “Kyoto Protocol”.

TTGB

Apakah biggest influence korang dari segi muzik?

KYOTO PROTOCOL

Setiap ahli ada pengaruh yang amat berbeza. Contohnya, saya memang kust dipengaruhui oleh American rock zaman 70-an (Eagles) sampai 90-an (Pearl Jam). Hairi pulak minat sangat dengan rock klasik (AC/DC).

TTGB

Sebelum Gimme Nothing yang saya dengar pada tahun 2011, ada tak demo lain sebelum itu?

KYOTO PROTOCOL

Demo yang pertama ialah Pussycat pada tahun 2010. Ia merupakan lagu original yang pertama kami main secara live. Selepas itu kami dilamar oleh Monsoon Records, dan hasilnya album pertama kami “An Album” yang dilancar pada tahun 2011.

TTGB

Bagi pendengar radio setia seperti saya (saya dilahirkan dengan lagu Cyndi Lauper Time After Time sebagai latar belakang), saya masih memeluk semangat Radio Gaga dalam lagu Queen. Bagaimanapun, radio pada hari ini, for lack of better word, adalah bankrap idea. Lawak basi, dan iklan yang berulang-ulang disamping tiada inovasi baru dalam muzik di negara ini. Sebagai ahli muzik, jelaskan pada kami, apa faktor yang menyebabkan semua ini berlaku di negara kita?

KYOTO PROTOCOL

Bukan saja pada hari ini, sejak zaman 80-an dan 90-an pun radio sudah mula bankrap dari segi idea. Pada zaman yang tersebut pun Manufactured Artists mula timbul, seperti Backstreet Boys atau Spice Girls. Saya pasti pada waktu lagu boyband/girlband dilancarkan, ramai dari golongan yang menyokong “real music” rasa nak muntah.

Tapi secara general, fenomena orang rasa keji dengan lagu yang ada gaya baru pernah terjadi dan pasti akan terjadi lagi dalam masa hadapan. Nasib baik kami tidak perlu berharap kepada media mainstream sahaja. Dengan internet kami boleh akses blog, youtube, streaming. Kami boleh meneroka alam musik yang baru dan menarik tanpa terpaksa dengar hasil syarikat muzik besar, yang kebanyakannya seperti yang kamu katakan.  Inovasi muzik tanahair memang ada, malangnya ia suka untuk dijumpai.

TTGB

Zaman sekarang orang lebih ramai menggunakan Youtube atau Spotify untuk mendengar radio, jadi apa kesannya bagi kumpulan muzik seperti Kyoto Protocol dalam berhadapan dengan era ini? Dari segi pendapatan penjualan album, atau dari segi royalti, misalnya.

KYOTO PROTOCOL

Bagi kami, servis online seperti YouTube/Spotify adalah peluang untuk menyebarkan muzik kami. Kami tak sangka muzik kami boleh sampai ke negara seperti US, Jepun, Taiwan, India tanpa servis-servis ini. Dari segi royalti, pada dasarnya kami tidak pernah menikmati zaman gemilang muzik tempatan bila artis boleh jual CD dan dapat royalti lumayan, sebab kami terlalu lambat kut. Jadi, sebarang royalti kecil pun dihargai.

TTGB

Era muzik rock dari 60an hingga pertengahan 2000an kini dilihat ‘lemah’ jika dibandingkan dengan muzik elektronik seperti EDM (rave, vaporwave, etc.), jadi adakah pada zaman kini muzik rock tidak lagi relevan? Atau berehat seketika sebelum ia akan “revive” kembali pada dekad akan datang?

KYOTO PROTOCOL

Mungkin muzik rock tidak relevan lagi. Kalau tengok sejarah muzik, ada pelbagai genre muzik yang sekarang mempunyai populariti yang amat rendah kalau dibanding dengan zaman gemilang masing-masing. Classical, Jazz, Big Band. Banyak tu. Tapi bukan macam ianya langsung hapus. Mungkin muzik itu tidak masuk radio sebanyak dulu, tapi tetap ada pemuzik dalam genre itu yang dapat menyara hidup. Saya pasti EDM akan ikut jalan yang sama. Ada sub-genre EDM yang sudah kurang populariti secara pantas, seperti dubstep. Kalau dibandingkan dubstep dengan rock, mungkin lebih senang untuk jual tiket untuk Bon Jovi dari konsert Skrillex pada hari ini.

TTGB

Selepas Versus – kumpulan ini tidak sebegitu aktif di media perdana. Ada lah update dari Youtube, tetapi jarang kedengaran seperti era 2011-2012 dulu. Ada projek terbaru, album atau apa-apa sahaja?

KYOTO PROTOCOL

Bagi saya, selepas Versus kumpulan kami lebih aktif. Sejak Versus kami dapat main di festival-festival terunggul untuk artis yang masih dikira “indie” e.g. Good Vibes Festival, Urbanscapes, Future Music Festival Asia. Kamilancarkan album kedua dan ketiga, Pahlawan dan Catch These Men, dan seterusnya pergi tour di Semenanjung. Dalam masa yang sama kami main di Thailand, India, Taiwan, diikuti dengan 3 siri tour di Jepun. Lagipun tengah-tengah dapat main di rata-rata di Malaysia. Yang last skali, kami baru melancarkan video/lagu terbaru kami “KL I Sayang You”, yang berjaya dapati lebih dari 80 ribu pandangan di laman Facebook (http://facebook.com/kyotoprotocol )Interesting fact…  lagu “KL I Sayang You” diterjemah oleh Myo (Oh Chentaku) dari lagu asalnya “KL I Love You” (dari album “Catch These Men”).Kami hanya boleh minta maaf sebab cara nak ikut perkembangan kami lalui cara independent sahaja, contohnya melalui senarai emel, laman web sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, (pada masa ini).

TTGB

Terima kasih kerana sudi dibualcara bersama kami, semoga maju jaya.

KYOTO PROTOCOL

Sama-sama dan terima kasih Teh Tarik Gelas Besar!

Bualcara ini dilakukan pada tahun 2016 dan pernah disiarkan dalam SoSialKrew. Penulis kini ialah penulis kepada Teh Tarik Gelas Besar.