Mengapa Bahasa Jepun Mempunyai Tiga Jenis Sistem Tulisan?

Kepada para peminat animasi Jepun, atau lebih dikenali sebagai anime, pasti pernah mencuba untuk belajar berbahasa Jepun. Namun, ternyata bahasa ini tergolong dalam salah satu bahasa yang tersusah untuk dipelajari selain daripada bahasa Cina, bahasa Korea dan bahasa Arab.

Hal ini kerana bahasa Jepun mempunyai tiga jenis sistem tulisan yang berbeza, iaitu kanji, hiragana dan juga katakana.

Pasti anda tertanya-tanya kenapa mereka tidak menggabungkan ketiga-tiga sistem tulisan ini menjadi satu bukan?

Menurut sejarah, Jepun sudah mempunyai sistem bahasa melalui percakapan tetapi bahasa Jepun tidak mempunyai sistem tulisan sehinggalah abad keempat dan kelima, sistem tulisan bahasa Cina, kanji, mula diperkenalkan di Jepun.

Kanji

Sumber: Unsplash

Simbol-simbol kanji telah digunapakai oleh orang Jepun dalam bahasa mereka. Rakyat Jepun mengambil simbol kanji daripada perkataan bahasa Cina dan memadankan dengan perkataan yang sama dalam bahasa mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, sebutan bahasa Cina sedikit sebanyak juga telah digunakan oleh rakyat Jepun hasil daripada interaksi antara dua rakyat ini ketika sedang melakukan sistem perdagangan.

Hasilnya, kebanyakan kanji boleh dibaca dalam dua cara yang berbeza iaitu on-yomi iaitu cara orang Cina, dan juga cara orang Jepun, kun-yomi.

Hiragana

Sumber: ThoughtCo

Sistem tulisan kanji sememangnya sangat rumit kerana mempunyai hampir 8,000 karakter dan setiap karakter melambangkan konsep yang abstrak, perkataan umum dan juga nama.

Secara awalnya, hanya para lelaki sahaja yang dibenarkan untuk belajar membaca dan menulis kanji.

Berikutan daripada itu, para wanita pada zaman Heian telah mencipta hiragana pada sekitar abad kelapan sebagai alternatif yang lebih mudah.

Hiragana mempunyai 47 jenis suku kata yang merepresentasi bunyi fonetik yang berbeza daripada sistem tulisan kanji yang berdasarkan simbol.

Para lelaki Jepun kemudiannya mula menggunakan hiragana dan penulisan mereka kerana tulisan ini lebih mudah untuk dibaca dan ditulis berbanding kanji.

Katakana

Sumber: Japanese Tactics

Sama seperti hiragana, sistem tulisan ketiga bahasa Jepun iaitu katakana juga merupakan suku kata yang berdasarkan pada bunyi fonetik.

Perbezaan antara hiragana dan katakana ialah katakana sering digunakan untuk mengeja perkataan-perkataan yang merupakan bahasa pinjaman.

Tulisan katakana ini merupakan tulisan yang telah dipermudahkan daripada simbol kanji dan mempunyai cara sebutan yang sama.

Hiragana kebiasaannya akan digunakan sebagai penggunakan tatabahasa dan imbuhan yang dapat memberikan maksud yang berbeza terhadap sebuah perkataan atau ayat.

Sistem tulisan Jepun tidak menggunakan jarak dalam ayat mereka oleh itu penggunaan ketiga-tiga sistem tulisan ini adalah salah satu cara untuk mengenalpasti setiap perkataan dalam satu ayat.

Secara kesimpulannya, bahasa Jepun pada zaman kini menggunakan ketiga-tiga sistem bahasa ini, kanji, hiragana dan katakana, dan dicampurkan dalam satu ayat yang sama.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: