2020 merupakan tahun pilihan raya di Amerika Syarikat. Tetapi, tahukah anda bahawa pilihan raya di Amerika Syarikat boleh dikatakan berlangsung setiap tahun?
Setiap 2 tahun sekali, akan berlangsung Pilihanraya Kongres, iaitu memilih House of Representatives. House of Representatives ini ialah seperti memilih calon ahli Parlimen jika kita bandingkan di Malaysia.
Pilihanraya Senat pula mengikut negeri-negeri yang terbabit. Ada yang berlangsung pada tahun ini, ada yang berlangsung pada tahun hadapan, atau mengikut kalendar negeri masing-masing.
Kerana itu, setiap tahun akan ada pilihanraya di Amerika Syarikat.
Untuk pilihanraya Presiden pula, ia berlangsung setiap 4 tahun sekali di tahun lompat. Dan tahun ini – 2020, merupakan tahun lompat.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan bertanding sekali lagi untuk mempertahankan jawatannya. Donald Trump, dari Parti Republikan telah memenangi pilihanraya presiden pada tahun 2016, menewaskan calon Parti Demokrat, Hillary Clinton.
Disebabkan Donald Trump mempertahankan jawatannya, pemilihan calon Republikan tidaklah dipaparkan sangat di dalam media. Dalam persaingan calon parti Republikan, pesaing ialah Joe Walsh dari Illinois, dan Bill Weld dari Massachussets.
Memandangkan Trump mempertahankan jawatannya, penyokong Republikan biasanya akan mempertahankan kedudukan presiden, dijangka akan menyokong Trump, walaupun ada dalam golongan Republikan yang akan mengundi calon lain.

Tetapi untuk Parti Demokrat, persaingan kali ini amat sengit. Terdapat 29 calon Presiden untuk Parti Demokrat kali ini, tetapi cuma 12 sahaja yang masih bertahan.
Calon yang popular (dipanggil frontrunner) ialah seperti Joe Biden, Bernie Sanders, Elizabeth Warren dan Pete Buttigieg.
Beberapa calon kurang popular lain ialah seperti Michael Bennet, John Delaney dan Amy Klobachar.
Calon yang popular di Internet, tetapi kurang popular dari kalangan ahli Demokrat pula seperti Tulsi Gabbard dan Andrew Yang.
Dalam pilihan raya kali ini, semua calon perlu bertarung dalam parti masing-masing terlebih dahulu dalam pilihanraya negeri masing-masing yang dipanggil sebagai ‘primaries’.
Primaries ini bertujuan untuk memilih sejumlah ahli Demokrat yang akan mengundi dalam Konvensyen Demokrat Nasional yang akan berlangsung di Milwaukee, Wisconsin pada 13-16 Julai 2020 nanti.
Sementara Republikan pula akan melangsungkan konvensyennya di Charlotte, Carolina Utara.
Dalam pemilihan kali ini, kesemua calon akan mula bertanding pada 3 Februari 2020 di dalam primaries Iowa. Iowa secara tradisinya akan menjadi negeri pertama akan memilih calon parti melalui caucuses, iaitu pemilihan secara bersuara.
Dalam pemilihan caucuses, selalunya ia diadakan di sekolah, dengan mengadakan perbincangan sebelum mengundi dengan mengangkat tangan atau diasingkan mengikut sokongan calon.
Antara sebab mengapa ia diadakan sebegitu, kerana kawasan sebegini merupakan negeri yang ramai penduduk kampung dan ia lebih mudah untuk dianjurkan sebegitu.
Pun begitu negeri yang lebih maju, menggunakan sistem mengundi yang seperti biasa.

Dalam pilihanraya Amerika Syarikat, badan pemantau pilihanraya bukanlah dalam peringkat persekutuan seperti di Malaysia, tetapi dalam peringkat daerah.
Terdapat 3,242 daerah di Amerika Syarikat, bermakna ada 3,242 badan pemantau pilihanraya yang seperti SPR jika di Malaysia.
Setiap daerah mempunyai cara mereka yang tersendiri dalam menganjurkan pilihanraya. Ada yang menggunakan pengundian elektronik, ada yang menggunakan kertas seperti di negara kita, ada yang menggunakan sistem menebuk nombor (seperti di Indonesia).
Selain pilihanraya Presiden, turut akan berlangsung tahun ini ialah Pilihanraya House of Representatives. Terdapat 435 ahli parlimen yang akan menentukan perundangan untuk dibawa ke Senat.
Untuk pilihanraya Senat pula, terdapat 35 daripada 100 kerusi dipertandingkan.
Selain itu, pilihanraya Gabenor untuk 11 negeri dan dua wilayah juga akan dipertandingkan dalam pilihanraya kali ini, serta 2 pilihanraya House of Representatives peringkat negeri (seperti DUN) akan berlangsung iaitu di California dan Pennsylvania, dan juga pilihanraya Senat Negeri di dua negeri tersebut.
Tujuh bandar di Amerika Syarikat juga akan melangsungkan pilihanraya untuk memilih Datuk Bandar, disamping terdapat beberapa lagi pilihanraya referendum untuk usul mengubal undang-undang mengikut yang ditetapkan Perlembagaan Negeri masing-masing.
Jadi sebenarnya pilihanraya di Amerika Syarikat amatlah sibuk, namun tumpuan utama pastilah pilihanraya Presiden.
Ramai yang mungkin tidak faham tentang bagaimana pilihanraya Presiden berlangsung. Ia tidak menggunakan sistem undi popular, sebaliknya menggunakan Electoral College.
Electoral College ialah sistem di mana setiap negeri diberi jumlah ahli elektoral mengikut jumlah penduduk negeri.
Makin ramai penduduknya, makin ramailah ahli elektoralnya. Contohnya, negeri California mempunyai ramai penduduk, mereka mendapat 55 ahli elektoral, tetapi negeri yang tidak ramai penduduk seperti Wyoming akan mendapat sedikit sahaja ahli elektoral, iaitu 3 ahli.
Selepas pilihanraya yang akan berlangsung pada 3 November ini, ahli-ahli elektoral negeri di seluruh negara akan ke House of Representatives negeri masing-masing (seperti DUN di Malaysia) untuk memilih Presiden berdasarkan keputusan pilihan raya.
Jika calon Presiden mendapat lebih 270 undi, dia akan dikira sebagai pemenang dan akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Januari, 2021.