Madinah Meraikan ‘Hari Raya’ Majusi? Ini Kisah Sebelum Datangnya Islam

Hari raya kaum majusi

Tahukah anda sebelum datangnya Islam, penduduk Madinah juga meraikan dua perayaan Majusi yang mirip dengan hari raya kita?

Sebelum hadirnya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, penduduk Madinah menyambut Hari Raya Nairuz dan Hari Raya Mihrajan.

Kedua-dua perayaan ini sebenarnya berasal daripada kaum Majusi dan perayaan ini masih lagi disambut sehingga sekarang oleh penganut agamanya.

Sedikit pengenalan bagi agama ini, Majusi juga dikenali sebagai agama Parsi lama, Zarathustra, Zoroaster, dan Zoroasterisme. 

Pernah menjadi agama utama di Timur Tengah dan Asia Tenggara, kini ia merupakan sebuah agama minoriti dan penganutnya banyak bertumpu di India.

Berbalik kepada dua hari raya itu, Nairuz diraikan sempena tahun baru dimana Nai bermaksud Baru dan Ruz pula bermaksud Hari.

Hari Raya Nairuz ini diraikan sama ada pada 20, 21 atau 22 Mac mengikut kalendar Masihi dan pada 1 haribulan Farvadin versi Majusi.

Mihrajan pula merupakan satu sambutan musim luruh atau menuai dimana dalam istilah Parsi, Mihr bermaksud ‘matahari’ dan Jan ialah ‘cinta’.

Ia juga merupakan satu perayaan untuk menyembah tuhan cahaya yang dipanggil Mihr atau Mithra atas rasa syukur terhadap tuaian mereka dan disambut 195 hari selepas Nairuz.

Sumber: PACK TO IRAN

Walaupun begitu, penduduk Madinah tidaklah mengamalkan ritual kaum Majusi ini. Mereka hanya bersuka-suka dan makan pada kedua-dua hari raya ini.

Imam Adz-Dhazabi ada berkata “Adapun hari Nairuz, penduduk Mesir berlebih-lebihan melakukan dan merayakannya. 

Nairuz adalah hari pertama pada tahun Qibhti yang mereka menjadikannya sebagai hari raya (diperingati setiap tahun), kemudian kaum muslimin mengikuti mereka (tasyabbuh).” 

Perayaan tersebut selalunya disambut dengan tarian, nyanyian serta minuman keras dan ia turut disambut oleh mereka yang sudah memeluk Islam.

Bagaimana pula keadaan setelah penghijrahan Rasulullah s.a.w. ke Madinah? 

Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha terjadi apabila Baginda s.a.w bertanyakan kepada kaum Muslimin yang menyambut perayaan itu.

Rasulullah s.a.w. bertanya “Hari apakah ini?”. Jawab mereka, “Hari raya kami. Pada hari ini kami bersuka ria dan bergembira sejak dari zaman jahiliah lagi.”

Baginda s.a.w kemudiannya bersabda, “Sesungguhnya Allah S.W.T. telah menggantikan dua hari raya yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha.” 

Perayaan berasal dari kaum Majusi ini sememangnya mirip dengan cara kita menyambut hari raya seperti menghias rumah dan makanan sedap.

Malah, mereka juga akan memberi duit raya kepada kanak-kanak dengan meninggalkannya dalam kitab yang dipanggil ‘Book of Wisdom’.

Namun begitu, Rasulullah s.a.w. melarang umat Islam untuk meraikan perayaan agama lain.

Kini, penganut beragama Islam di Madinah menyambut hari raya seperti yang kita ketahui dan raikan bersama-sama.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: