Linda Burfield Hazzard merupakan seorang doktor wanita yang mengaku dirinya sebagai ‘Pakar Puasa’ pada tahun 1902.
Dia mendakwa bahawa dirinya mampu membantu pesakit pulih secara semula jadi melalui diet dan dengan berpuasa.
Walau bagaimanapun, rawatan dari Dr. Linda hanyalah sebuah khayalan dimana beliau membunuh pesakitnya satu demi satu dengan membiarkan mereka kelaparan.
Tahun Awalnya:

Linda lahir pada tahun 1857, membesar di Minnesota bersama tujuh orang adik beradik dan dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang latar belakang perubatan.
Namun dia dapat memperoleh lesen perubatan daripada kerajaan Washington sebagai ‘pakar kerja’.
Hal ini kerana terdapat permintaan yang tinggi bagi kakitangan perubatan pada tahun 1900-an, tanpa mengira jika mereka layak atau tidak.
Dalam tahun 1908, Linda telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Puasa Bagi Penyembuhan Penyakit (Fasting for the Cure of Diseases).
Buku tersebut kemudian menjadi sangat terkenal dan mempunyai ramai pengikut.
Doktor wanita ini berpendapat bahawa puasa mampu menyembuhkan penyakit dengan membenarkan sistem penghadaman untuk berehat dan tumbuh semula.
Dia kemudian membuka sebuah sanatorium di Olalla, Washington bernama Wilderness Heights. Penduduk tempatan pula memanggilnya sebagai ‘Starving Heights’.

Pesakit Terkorban:
Antara rawatan yang biasa Linda tetapkan untuk pesakitnya adalah puasa untuk jangka masa yang lama dimana pesakit hanya boleh mengambil kuah sayur dan minum jus sahaja.
Selain itu, mereka juga perlu melakukan urutan yang kasar dan enema (pemasukan cecair ke dalam dubur, terutamanya untuk memudahkan buang air besar).
Terdapat beberapa laporan daripada saksi berkata mereka mendengar pesakit teriak kesakitan semasa menjalani rawatan bersama Linda.
Dua pesakit terkenal Dr. Linda adalah Claire dan Dorothea Williamson yang merupakan anak kepada anggota askar British yang terkorban.
Mereka berdua hanya diberi makan satu cawan sup tomato atau asparagus sehari bersama sedikit jus oren.
Claire meninggal pada tahun 1911 semasa umurnya 33 tahun dengan berat sebanyak 22 kilogram sahaja.
Manakala, Dorothea terselamat apabila dia sempat diselamatkan oleh ahli keluarganya yang datang untuk membawanya pulang dari sanatorium tersebut.

Linda Ditahan:
Ini bukanlah kes pertama yang menyebabkan pihak awam curiga dengan Linda Hazzard. Dipercayai, sebanyak 40 pesakit telah meninggal dunia dibawah jagaannya sebagai Pakar Puasa.
Setelah kematian Claire Williamson, dia didapati telah memalsukan surat wasiat pesakitnya itu.
Bukan itu saja, Linda juga telah mencuri barang kemas, baju dan duit pesakitnya setelah dia meninggal dunia.
Sejurus itu, Linda dikenakan tuduhan atas pembunuhan Claire Williamson dan dijatuhkan hukuman 2 sehingga 20 tahun kerja buruh. Meskipun begitu, dia dilepaskan dua tahun kemudian pada 26 Disember, 1915.
Sepanjang hidupnya, Linda tidak mengaku salah atas kesemua kematian pesakitnya. Malah, dia membuat kenyataan bahawa keadaan pesakit-pesakit tersebut terlalu parah untuk sembuh dengan berpuasa.
Semasa umurnya menjejak 70-an, dia menjadi sangat sakit lalu dia melakukan rawatan berpuasanya itu sendiri. Beliau kemudian meninggal dunia akibat kebuluran pada tahun 1938.
Sebelum ini, kami juga ada menulis artikel dimana seorang gadis berpuasa sehingga meragut nyawa untuk buktikan dirinya.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: