Siapa sangka lemang merupakan makanan segera masyarakat Melayu silam.
Lemang dikatakan telah wujud ketika orang Melayu-proto dan Melayu-deutro telah membawa amalan nasi yang dimasak dalam buluh ke Asia Tenggara.
Perkara ini dapat dibuktikan lagi apabila amalan memasak nasi di dalam buluh turut wujud dalam kalangan orang asli di Semenanjung Tanah Melayu dan orang Dayak di Borneo.
Bermula dari seorang ulama iaitu Sheikh Burhanuddin, lemang telah dijadikan sebagai makanan rasmi bagi perayaan besar Islam sebagai simbolik penghasilan makanan halal.
Makanan ini turut menjadi makanan tradisi dalam masyarakat Minangkabau sehingga tersebar di seluruh Indonesia.
Walau bagaimanapun, rekod rasmi kewujudan lemang di Kepulauan Melayu adalah pada tahun 1852 di tanah Batak, 1864 di Semenanjung Tanah Melayu, 1873 di Minangkabau dan 1900 di Bangkahulu.
Suatu ketika dahulu nenek moyang zaman dahulu menjadikan aktiviti memungut hasil hutan sebagai antara sumber ekonomi utama.
Bermakna apabila bekerja, mereka akan masuk ke hutan berhari-hari lamanya. Tambahan pula, jika ke sana mestilah mempunyai kelengkapan seperti makanan.
Maka, alternatif yang wujud adalah makanan seperti lemang kerana mudah dibawa dan tahan lama.
Selain itu, penggunaan buluh untuk menghasilkan lemang dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu silam.
Ini kerana mereka mempunyai daya inovatif yang tinggi dalam teknik memasak nasi tanpa periuk.
Dengan menggunakan buluh yang diletakkan air dan daun pisang, apabila dibakar ianya akan menjadi nasi.
Penggunaan daun pisang pula digunakan agar nasi tidak terlekat di dinding buluh.
Mungkin dari dua kombinasi ini, lemang mula wujud sebagai makanan tradisi sejak abad ke-9 sehinggalah menjadi idaman wajib ketika menjelangnya raya.
Hari ini lemang sudah tidak boleh lagi dianggap sebagai makanan segera kerana penghasilannya agak renyah.
Tetapi berterima kasihlah kepada nenek moyang kita kerana merekalah, kita dapat menikmati makanan segera silam pada hari raya.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: