Pada Januari 1997, seorang lelaki dari Arizona, Scott Falater telah menikam isterinya sebanyak 44 kali sebelum melemaskannya dalam kolam renang di belakang rumahnya.
Sehingga kini, dia masih tidak mempunyai sebarang ingatan tentang apa yang terjadi pada malam itu dan masih mendakwa bahawa dia hanyalah mengigau.
Pembunuh itu mengatakan bahawa dia sedang mengigau ketika dia membunuh isterinya dengan kejam pada 24 tahun yang lalu.
Ketika pegawai polis Phoenix tiba di tempat kejadian, mereka menjumpai Scott masih dalam baju tidurnya di tangga rumahnya, tanpa mengingati sebarang perkara yang telah berlaku.
Pada malam 17 Januari 1997, setelah menyiapkan pelan mengajar untuk kelasnya dan memperbaiki kerosakan pada kolam renangnya, Scott memberitahu bahawa dia telah menemui isterinya sedang tidur di sofa.
Dia hanya mengecup dahi isterinya sebelum naik ke biliknya untuk tidur. Apa yang Scott ingat hanyalah dia sedang berdiri di tangga rumahnya dengan berbaju tidur apabila polis sedang mengacukan pistol ke arahnya dan menyuruhnya duduk di lantai.
Pihak polis tiba di tempat kejadian setelah salah seorang jirannya telah menghubungi pihak polis setelah melihat Scott telah menyeret isterinya, Yarmila Falater yang sudah berdarah dan menahan kepalanya di dalam air kolam renangnya.
Setibanya pihak polis di sana, mereka menjumpai Yarmila dalam keadaan terapung di dalam kolam renang yang telah dibanjiri darah. Kejadian itu dikatakan kelihatan seperti sebuah serangan ikan yu.
Scott yang terdiri bingung di atas tangga telah dibawa ke balai polis untuk disiasat dan salah seorang detektif telah menegur tentang kesan darah pada lehernya.
Apabila Scott telah diberitahu tentang isterinya yang telah mati akibat ditikam dan dia telah dilihat melemaskan Yarmila oleh jirannya, dia hanya terpaku akibat terkejut.
Scott akhirnya ditangkap dan didakwa dengan pembunuhan tahap pertama.
Dalam perbicaraannya pada Jun 1999, pihak pendakwa telah memaklumkan bahawa Scott telah memakai sarung tangan sebelum menikam isterinya dan telah merawat luka pada tangannya setelah itu.
Pihak polis juga telah menjumpai baju yang penuh dengan kesan darah serta sebilah pisau yang disembunyikan di dalam vannya.
Setelah bertemu dengan ibu dan kakaknya, mereka memberitahu bahawa Scott memang mengalami kondisi sleepwalking yang sangat teruk sehingga terdapat beberapa insiden yang berlaku susulan perkara itu.
Peguamnya akhirnya mendakwa bahawa Scott menghadapi gangguan ketika tidur yang dikenali sebagai somnambulisme.
Somnambulisme merupakan sebuah masalah yang terjadi ketika waktu tidur di mana seseorang melakukan pelbagai kegiatan ketika tidur.
Perkara itu kebiasaannya berlaku satu hingga dua jam selepas tidur dan bertahan hanya buat beberapa minit sehingga beberapa jam.
Pakar penyakit tidur Richard Bootzin memberitahu bahawa melakukan keganasan ketika tidur sememangnya jarang sekali berlaku tetapi terdapat beberapa kes di mana penghidap masalah ini cuba untuk terjun dari tingkap, mencampak anaknya keluar dari tingkap dan juga memandu kereta.
Merujuk kepada kes pembunuhan ini, Scott dikatakan berkemungkinan telah diganggu ketika tidur oleh Yarmila dan Scott menganggap isterinya itu sebagai ancaman.
Meskipun demikian, salah seorang doktor pakar yang mengikuti rapat kes tersebut berkata, bagi seorang penghidap masalah ini, ianya agak aneh untuk mereka melakukan hal-hal yang merumitkan dan spesifik seperti membunuh, menyembunyikan bukti dan juga menggantikan bajunya.
Perkahwinan Scott dan Yarmila dikatakan tidak sesempurna dan seindah seperti yang dikatakan.
Para peguam mendakwa bahawa Scott ingin mempunyai anak yang ramai dan isterinya tidak bersetuju tentang hal itu. Yarmila juga dikatakan tidak gemar akan agama yang mereka anuti iaitu kepercayaan Mormon.
Mereka juga melaporkan pihak mahkamah bahawa ketika mayat isterinya dijumpai, tiada cincin perkahwinan yang tersarung pada jarinya.
Scott telah dihukum penjara seumur hidup sehingga kini dan hukuman matinya telah ditarik setelah dirayu oleh kedua-dua orang anaknya.