Lebih Selesa Buat Semua Aktiviti Secara Sendiri, Kenali Budaya Ohitorisama Di Jepun

Walaupun kelihatan pelik bagi sesetengah orang, hidup bersendirian sebenarnya lagi seronok kerana anda bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa perlu terikat kepada mana-mana individu.

Walau bagaimanapun, ada juga yang menganggap golongan tersebut sebagai loser dan tidak mempunyai rakan. Namun, tahukah anda bahawa persepsi ini bukan hanya wujud dekat Malaysia tetapi di seluruh dunia termasuk Jepun? Kami akan kongsikan tentang budaya ohitorisama di Jepun menerusi artikel ini:

Ohitorisama

Kira-kira 10 tahun lalu, ramai orang di negara matahari terbit berkenaan sangat malu jika mereka dilihat makan sendirian dekat tempat awam. Jadi, mereka lebih sanggup makan di tandas supaya tidak dilihat oleh orang lain.

Namun, zaman semakin berubah dan ia tidak lagi memalukan sekiranya anda makan ataupun melakukan apa-apa aktiviti secara bersendirian di sana.

Perkara ini turut diakui oleh seorang pelayan di Hitori dekat Tokyo iaitu sebuah bar yang dikhususkan untuk individu yang suka makan dan minum secara bersendirian.

Untuk pengetahuan anda, kafe seperti ini semakin terkenal dan menerima reaksi positif dalam kalangan masyarakat Jepun sejak kebelakangan ini.

Kafe dengan konsep seperti ini memang agak pelik memandangkan rakyat Jepun lebih gemar hidup dalam masyarakat. Hitori ini membawa maksud satu orang dalam bahasa Jepun.

Atas sebab itu, munculnya budaya ohitorisama di mana sekumpulan individu yang semakin berani melakukan sesuatu perkara secara bersendirian tanpa mengambil kira pendapat dan pandangan orang lain.

Secara ringkasnya, ohitorisama ini membawa maksud berseronok secara berseorangan. Jadi, apa yang mendorong perubahan dan mengapa sebenarnya ohitorisama dianggap begitu penting?

Tekanan sosial

Sumber: Iluminasi

Untuk sebuah negara yang amat mementingkan konsep kebersamaan dan menjadi sebahagian daripada sebuah kumpulan, ohitorisama ini merupakan satu masalah besar.

Mana tidaknya, 126 juta orang Jepun hidup sesak di sebuah negara yang lagi kecil daripada California manakala empat perlima dari tanah berkenaan pula bergunung dan tidak mempunyai penghuni.

Atas sebab itu, rakyat Jepun terpaksa hidup secara beramai-ramai dan berkumpulan kerana ruang sempit. Apabila hidup dalam kumpulan, seseorang individu itu tidak dapat melarikan diri daripada dijadikan perbandingan dengan orang lain.

Namun, perkara ini bagaimanapun semakin berubah dan tekanan sosial negatif kepada individu yang suka hidup bersendirian juga semakin berkurang.

Pada pendapat anda, adakah budaya individu melakukan semua aktiviti secara bersendirian ini akan menjadi kebiasaan pada masa hadapan atau sebaliknya?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan budaya, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber: