Secara amnya, majlis perkahwinan merupakan sebuah pesta yang menggembirakan untuk seseorang individu. Jadi, tidak pelik apabila di hari ini, kebanyakan mereka ingin menyambutnya dengan majlis dan pesta yang meriah.
Namun baru-baru ini satu larangan baharu telah dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa di wilayah Rostov di selatan Rusia yang melarang ketawa riang ria terhadap sesiapa yang menghadiri majlis perkahwinan.

Menurut The Moscow Times, selain daripada ketawa ia juga turut melarang orang ramai daripada berbual dengan kuat dan meminum minuman keras atau alkohol semasa majlis ini.
Ia menetapkan bahawa, upacara perkahwinan sivil harus diadakan tidak melebihi 40 minit di dewan istiadat pada hari dan masa yang telah ditetapkan. Di majlis itu, bendera dan jata negara juga harus diletakkan.
Hal ini bertujuan untuk menghalang sesiapa sahaja mengganggu majlis tersebut yang mana dianggap mereka sebagai majlis yang serius.
“Ya, perkahwinan adalah peristiwa yang menggembirakan, tetapi anda tidak boleh berlebih-lebihan. Dibenarkan untuk tersenyum, tetapi tidak ada perkara lucu dalam majlis itu – ini adalah majlis serius,” kata Olga Isaenko, yang mengetuai pejabat pendaftaran wilayah Rostov kepada pemberita.
Bagaimanapun, dalam majlis perkahwinan itu, sesi mengambil gambar dan muzik ringan masih dibenarkan.
Tambah Isaenko lagi, tiada hukuman rasmi yang dijatuhkan kepada mereka yang melanggar larangan itu, namun kes ekstrem seperti mengganggu majlis akibat mabuk boleh menyebabkan seseorang itu didakwa.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: