Kalau kita di Malaysia, tiga warna utama yang digunakan di lampu isyarat sudah pastilah merah, kuning dan hijau. Merah menandakan kita harus berhenti, kuning untuk berjaga-jaga dan hijau untuk bergerak. Namun kalau anda pergi ke Jepun, anda akan dapat melihat bahawa lampu isyarat disana tidak mempunyai warna hijau akan tetapi digantikan dengan warna biru.

Warna biru itu tidaklah membawa maksud yang lain akan tetapi tetap berfungsi seperti hijau yang menandakan bahawa kenderaan dibenarkan bergerak. Persoalannya sekarang, kenapa negara ini memilih untuk menggunakan warna biru sedangkan negara-negara lain tetap menggunakan hijau? Adakah sebab mereka tidak menyukai warna hijau?
Jawapannya adalah kerana sejarah unik yang melibatkan bahasa mereka itu sendiri.
Ratusan tahun dahulu, Jepun hanya mempunyai perkataan untuk empat warna asasi utama iaitu hitam, putih, merah dan biru. Jadi apabila seseorang ingin mengatakan warna hijau misalnya, seseorang akan menggunakan perkataan “ao” yang membawa maksud biru. Akan tetapi orang yang mendengar akan tetap memahami warna yang dimaksudkan di situ ialah warna hijau.
Hal ini kekal begitu sehinggalah populariti perkataan “midori” yang membawa maksud “tumbuhan yang bercambah” mula meningkat dalam dunia penulisan Jepun untuk menunjukkan warna hijau. Perkataan ini mula digunakan dan diterima oleh orang Jepun untuk merujuk kepada warna hijau.
Dengan populariti yang meningkat itu kita pasti berfikir bahawa ia akan diterima ramai bukan? Namun malangnya, rata-rata penduduk Jepun walaupun menerima perkataan “midori”, mereka tetap lebih selesa untuk menggunakan perkataan “ao” jika ingin merujuk pada warna hijau.
Jadi, apa kaitan perkataan ini dengan lampu isyarat berwarna biru di Jepun?
Apabila lampu isyarat mula-mula diperkenalkan di Jepun, mereka pada awalnya menggunakan warna seperti negara lain iaitu warna merah, kuning dan hijau. Namun di dalam dokumen rasmi yang digunakan kerajaan, mereka menggunakan perkataan “ao” dan bukannya “midori” dalam merujuk warna hijau lampu isyarat tersebut.

Hal ini menyebabkan tidak senang duduk di kalangan pejuang bahasa, yang kemudiannya menyuruh pihak kerajaan menukar perkataan yang digunakan kepada “midori” kerana “ao” lebih sesuai digunakan untuk merujuk warna biru.
Memutuskan untuk berkrompomi dengan permintaan pihak ini, kerajaan Jepun pada masa itu akhirnya memperkenalkan lampu isyarat yang berwarna hijau akan tetapi kelihatan seakan-akan biru. Dengan ini, secara teknikalnya, lampu isyarat mereka tetap berwarna hijau, namun akan kelihatan berwarna biru.
Dengan lampu isyarat berwarna seakan-akan biru ini, pihak bahasa tidak akan lagi mempunyai masalah menerima penggunaan “ao” di dalam dokumen-dokumen rasmi negara.
Dengan kata lain, disebabkan oleh sejarah bahasa dan usaha pejuang bahasa Jepun itu sendiri, lampu isyarat di Jepun kini menggunakan warna biru. Atau lebih tepat lagi, warna hijau yang paling dekat dan kelihatan mirip seakan-akan biru.
Dengan kata lain juga, kerana bahasa, lampu isyarat yang menjadi mangsa.
Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: