Sebuah kajian terbaharu menyatakan bahawa bayi yang lahir ketika pandemik COVID-19 berpotensi memiliki tahap IQ yang lebih rendah.
Seorang penyelidik menjelaskan bahawa penurunan IQ itu adalah berpunca daripada kekurangan interaksi antara bayi dengan dunia luar.
Hal ini berlaku demikian kerana batasan pergerakan yang memberi kesan kepada perkembangan kognitif mereka.
Rata-rata tahap IQ bayi berussia tiga bulan hingga tiga tahun turut menurun daripada 100 sebelum pandemik kepada 79 ketika pandemik.
Angka itu merupakan hasil daripada analisa kognitif terhadap 672 orang kanak-kanak yang dilahirkan di Rhode Island, Amerika Syarikat.
Terdapat 188 bayi yang lahir ketika pandemik telah dikaji dan mereka dibandingkan dengan 308 bayi yang lahir sebelum Januari 2019 dengan 176 daripadanya lahir di antara bulan Januari dan Mac 2020.
Profesor Dr Sean Deoni, penyelidik kajian berkenaan yang juga merupakan pakar pediatrik di Universiti Brown menyatakan bahawa kanak-kanak yang mengalami gangguan kognitif berpunca daripada masa yang terlalu banyak dihabiskan di dalam rumah.
Bukan itu sahaja, ia juga termasuk kekurangan berinteraksi dengan dunia luar yang lebih luas selain ada antara kanak-kanak yang mengalami masalah mental seperti kemurungan.
Hal ini menyebabkan ibu bapa tertekan dengan situasi semasa namun tanpa disedari ia juga boleh berlaku kepada kanak-kanak dan kesannya malah lebih teruk.
Tambahnya lagi, kanak-kanak yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan mengalami masalah kewangan kesan daripada pandemik ini juga lebih mudah terkesan dengan perkara ini.