Kisah buaya putih merupakan kisah yang cukup popular tidak kira sama ada di Malaysia atau di Indonesia. Setiap tempat pasti mempunyai versi cerita buaya putih yang tersendiri.
Pada faktor saintifik, buaya berwarna putih disebabkan oleh hypomelanism atau disebut juga sebagai albino. Namun begitu, terdapat banyak kisah lagenda mengenainya dalam masayarakat kita pada zaman dahulu.
Bagi masyarakat Melayu, buaya putih dianggap sebagai semangat atau penunggu kepada sungai. Oleh itu, penghormatan terhadap buaya putih ini sangat tinggi sehingga mereka tidak akan sesekali menganggu apatah lagi menangkap buaya ini.
Kisah buaya putih ini juga turut dikaitkan dengan Sejarah Kuala Kubu Bharu di Selangor. Ianya dikatakan akibat kedegilan seorang pegawai Inggeris yang menembak mati seekor buaya putih sehingga mendatangkan bencana banjir besar kepada penduduk kampung.
Penduduk tempatan percaya buaya putih itu merupakan penunggu kepada sungai tersebut. Namun seorang pegawai Inggeris yang bernama Cecil Ranking tidak mempedulikan kata-kata penduduk tempatan dan telah bertindak menembak buaya tersebut sekitar tahun 1883.
Tidak lama kemudian, empangan yang dibina oleh orang Melayu itu yang diyakini berusia lebih 100 tahun telah pecah akibat banjir besar yang telah meragut nyawa Cecil Ranking. Kawasan empangan tersebut kini dikenali sebagai Ampangan Pecah.
Di Kelantan juga ada kisah buaya putih. Tok Selehor, seorang ulama terkenal di Tumpat dikatakan diberi kelebihan oleh Allah yang mana beliau mampu berkomunikasi dengan buaya putih di sungai Selehor di kampungnya.
Buaya putih itu ditugaskan untuk menjaga keamanan sungai tersebut yang mana sebelum ini sering berlaku ancaman daripada buaya-buaya lain sehingga menyukarkan aktiviti seharian penduduk yang bergantung kepada sungai.
Sebenarnya, masih banyak lagi cerita buaya putih yang tidak tersenarai dalam artikel ni. Walaupun legenda buaya putih kedengaran seperti tidak masuk akal, tetapi cerita-cerita orang tua kita perlu dikumpul sebagai salah satu cara kita mengumpul tradisi lisan sejarah masyarakat Malaysia.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, sila klik pada pautan di bawah: