Kredibiliti Kerajaan Baru Dalam Hadapi Gelombang Kedua COVID-19

Pada 9 Mac 2020, senarai nama jemaah menteri kabinet Malaysia yang baharu telah diumumkan dan menerima pelbagai reaksi daripada rakyat yang rata-rata tidak mempercayai kebolehan sesetengah menteri yang dipilih.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican, Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali antara yang menjadi buah mulut orang ramai.

Namun begitu, sejurus selesai isu kabinet di Malaysia ini. Negara kita dilanda gelombang kedua untuk wabak COVID-19 akibat daripada perhimpunan tabligh di Seri Petaling yang menimbulkan huru-hara dan perasaan panik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Datuk Seri Dr. Adham Baba yang menggantikan Dr. Dzulkefly Ahmad perlu menerajui bersama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah dalam membendung wabak ini daripada terus merebak.

Pada mulanya, kerajaan tidak begitu tegas dalam membendung dan memberi kesedaran kepada rakyat tentang bahayanya virus ini. Malah, kita seolah-olah tidak mengambil isu di Itali dan Korea sebagai pengajaran.

Sehari sebelum berlakunya dua kes kematian di Malaysia, Perdana Menteri telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan. Menjadi satu kesilapan ialah mereka tidak menerangkan dengan lebih jelas apa itu perintah kawalan sehingga ia mencetuskan pembelian panik dan ramai orang lari pulang ke kampung.

Lebih merunsingkan lagi apabila ada institut pendidikan yang mengeluarkan memo supaya pelajar keluar daripada kolej kediaman dan pulang ke kampung sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan tersebut.

Hal ini membuatkan jumlah manusia yang berhimpun di terminal bas semakin tinggi dan ia lari dari usaha kerajaan yang ingin putuskan rangkaian jangkitan dengan lakukan jarak sosial.

Lebih merumitkan lagi, pada sebelah petang kerajaan umum perintah larangan keluar antara negeri selepas ramai para pelajar telah membeli tiket kapal terbang dan bas untuk pulang ke kampung. Ini menimbulkan kekecohan dan panik di antara mereka yang terus menyerbu balai polis untuk dapatkan borang perjalanan.

Sekali lagi, arahan yang bercanggah dan mengejut seperti ini membuatkan usaha jarak sosial gagal.

Sejurus melihat keadaan tidak terkawal di balas polis, arahan larangan keluar antara negeri ditarik semula.

Ini menimbulkan kegusaran antara rakyat yang bimbang dengan situasi di balai polis tersebut boleh mengakibatkan berlakunya jangkitan dan kecewa apabila kerajaan gagal memikirkan sebarang kemungkinan yang berlaku hasil dari arahan mereka.

Walau bagaimanapun, kita tidak boleh meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kerajaan. Penulis yakin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang cuba memikirkan jalan penyelesaian yang sepatutnya untuk memastikan Perintah Kawalan Pergerakan ini berjaya.

Dalam kekurangan mereka, ada sisi positif yang perlu kita lihat misalnya usaha mereka dalam memelihara nasib mereka yang hilang sumber pendapatan kerana perintah kawalan ini dijaga dengan baik dan nasib para pelajar juga dipelihara oleh mereka setelah isu pulang ke kampung tersebut selesai.

Malah, penulis juga berasa kagum dengan Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah yang tidak pernah berhenti berusaha menerajui Kementeri Kesihatan Malaysia sejak Dr. Dzulkefly hilang jawatan dan dalam tempoh seminggu menunggu menteri baharu dipilih.

Beliau dan kakitangan hospital perlu diberikan penghormatan yang tinggi kerana tidak pernah berhenti berusaha untuk menangani wabak ini.

Diharapkan kerajaan baru ini semakin matang dan belajar daripada kesilapan yang lalu untuk menambahkan keyakinan rakyat kepada mereka. Rakyat pula hendaklah mendengar arahan yang diberikan oleh kerajaan dan beri kerjasama sepenuhnya.

Tolong jangan menipu sewaktu hadir untuk saringan, anda boleh jadi punca Malaysia kekurangan tenaga pekerja di hospital.

Semoga Tuhan lindungi Malaysia.