Pada masa kini, banyak negara yang berlumba-lumba membangunkan menara atau bangunan tertinggi di dunia. Untuk pengetahuan, rekod bagi status menara tertinggi di dunia kini masih dipegang oleh Menara Burj Khalifa, Dubai setinggi 828 meter.
Dalam dunia sains dan teknologi, kita sering dihidangkan dengan idea-idea luar kotak yang ada kalanya sukar untuk digambarkan. Sebagai contoh, Asgardia yang merupakan sebuah penempatan di angkasa lepas dianggap sebagai negara baru. Malah, idea membangunkan penempatan manusia di Marikh juga seakan-akan tidak masuk akal.
Biasanya, menara atau bangunan tinggi akan dibina bermula dari tapaknya dan ke atas. Namun, tahukah anda mengenai Menara Analemma, konsep sebuah menara yang tergantung dari atas langit?

Tergantung dari asteroid
Clouds Architecture Office, sebuah firma reka bentuk New York, telah mencadangkan sebuah menara yang akan tergantung dari asteroid pada ketinggian 31,068 batu dari Bumi. Difahamkan, firma yang mengeluarkan konsep rekaan ini sememangnya pakar dalam reka bentuk konsep yang pelik.
Menara Analemma akan tergantung pada asteroid yang diikat dengan kabel yang sangat kuat serta bergerak di orbit “geosinkron eksentrik” dalam laluan berbentuk nombor 8.
Ia akan sentiasa bergerak dan penduduk serta pelawat yang berada dalam bangunan ini akan melakukan perjalanan harian antara hemisfera utara dan selatan. Berkemungkinan titik permulaan bagi menara ini bermula di bandar New York atau Dubai.
Idea asal konsep
Pada tahun 2015, misi “Rosetta” oleh Agensi Angkasa Eropah berjaya mendarat di permukaan komet Churyumov-Geraismenko menunjukkan bahawa terdapat kemungkinan untuk berinteraksi dengan objek yang lebih kecil seperti itu di angkasa.
Misi “Asteroid Redirect Mission” NASA telah dijadualkan untuk menghantar robot bagi mengumpulkan batu dari asteroid dan kemudian meletakkan batu itu ke orbit stabil di sekitar bulan.
Dengan cara yang sama, pihak firma Clouds Architecture Office merancang untuk menggunakan asteroid yang dilengkapi dengan kabel dengan kekuatan tinggi yang menjangkau ke bumi. Tujuan utama adalah untuk memegang pencakar langit sepanjang perjalanannya.
Ostap Rudakevych, pereka bentuk konsep Menara Analemma, mendakwa bahawa menara itu boleh diperbuat daripada bahan tahan lama dan ringan seperti serat karbon dan aluminium. Kemajuan dalam kejuruteraan, kabel diperlukan untuk mencapai kekuatan kabel yang diperlukan untuk menyokong struktur menara ini.
Untuk penggunaan tenaga elektrik pula, tenaga elektrik akan datang dari panel solar yang mempunyai pendedahan kepada cahaya matahari secara berterusan. Sementara itu, air untuk kegunaan dalam menara akan ditangkap dari awan dan air hujan dan disimpan dalam sistem gelung separa tertutup.
Seperti yang diusulkan, puncak menara berada pada ketinggian 32,000 meter dan diharapkan dapat mencapai kelajuan 300 mph ketika bergerak melalui langit.
Drone dan elevator elektro-magnetik
Rudakevych mengatakan, penggunaan drone penumpang yang besar membolehkan manusia bergerak bolak-balik antara menara dan permukaan bumi bersama dengan elevator elektro-magnetik canggih yang memudahkan pergerakan pergi dan balik dari menara ini.
Pada masa ini, terdapat cadangan agar menara ini dibina di Dubai yang mempunyai sejarah panjang membina bangunan pencakar langit yang tinggi dan bergaya dengan kos yang lebih rendah berbanding kos pembinaan pencakar langit yang berpusat di A.S.
“Sejak manusia tidak lagi tinggal di gua, bangunan kita semakin tinggi dan ringan. Kami percaya bahawa beberapa tahun lagi bangunan akan terbebas dari permukaan bumi, membebaskan kita dari banjir, gempa bumi dan tsunami yang berbahaya.”
Menara Analemma merupakan idea spekulatif bagaimana ia dapat dicapai pada suatu masa nanti. Walaupun menara Analemma ini sekadar konsep, ianya cukup menarik kerana pertama kali idea seperti ini muncul dan tidak mustahil pada masa akan datang kita mungkin dapat melihat ia direalisasikan.
Untuk baca artikel-artikel ini, sila klik pada pautan di bawah: