Tahukah anda bahawa Kodomo no hi atau Hari Kanak-Kanak ini disambut di Jepun pada setiap 5 Mei iaitu semalam?
Hari yang merupakan salah satu hari cuti kebangsaan Jepun ini disambut untuk meraikan kesihatan dan kebahagiaan anak-anak.
Pada asalnya, hari kelima pada bulan lima itu dikenali sebagai Tango no Sekku untuk meraikan anak lelaki.
Manakala, untuk anak perempuan pula jatuh pada 3 Mac yang dikenali sebagai Hina Matsuri iaitu Festival Anak Patung.
Hina Matsuri masih lagi disambut sehingga sekarang namun bukanlah satu cuti kebangsaan seperti Tango no Sekku.
Pada tahun 1948, kerajaan Jepun menukar nama cuti kebangsaan itu kepada Kodomo no Hi untuk meraikan kesemua kanak-kanak.
Hari Kanak-Kanak selalunya sangat berwarna-warni dengan sepanduk yang berbentuk ikan Karp dan motif-motif samurai.
Mari kita lihat apakah tradisi yang dilakukan semasa mereka menyambut Kodomo no Hi ini.
Koinobori

Koinobori yang berbentuk ikan Karp ini akan digantung pada sebuah tiang untuk dikibarkan di luar rumah.
Sepanduk ini melambangkan harapan ibu bapa kepada anak-anak mereka atas kekuatan dan kesungguhan mereka untuk berjaya dalam hidup.
Selalunya, karp besar berwarna hitam adalah mewakili bapa, merah pula untuk ibu dan warna-warna lain untuk setiap anak dalam keluarga.
Gogatsu Ningyo dan Kabuto

Keluarga di Jepun akan memaparkan set miniatur pahlawan samurai, Gogatsu Ningyo yang disusun bersama perisai, helmet, busur serta anak panah.
Set ini melambangkan satu harapan agar anak-anak akan membesar dengan kuat dan berani dan merupakan tradisi yang dikekalkan dari Tango no Sekku.
Set ini selalunya agak mahal kerana dijual dalam kualiti terbaik, oleh itu kebanyakkan keluarga akan memaparkan satu miniatur helmet samurai yang dipanggil Kabuto.
Shobuyu

Shobuyu merupakan mandian bunga Iris termasuk dengan daunnya kerana dikatakan menyerupai pedang samurai dan dipercayai dapat menghalang anasir jahat.
Rumah mandian awam selalunya akan menyediakan mandian Iris untuk digunakan oleh anak kecil secara percuma pada perayaan tersebut.
Anda boleh baca artikel menarik yang lain seperti: