Kisah Sebenar Di Sebalik Pepatah ‘Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat’

Biar mati anak, jangan mati adat

Seringkali kita mendengar pepatah ‘Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat’ yang merujuk kepada orang yang kuat berpegang pada adat atau sesuatu adat itu tidak boleh dilanggar. 

Namun, tahukah anda asal usul dan makna sebenar di sebalik pepatah ini?

Pepatah ‘biar mati anak, jangan mati adat’ ini sebenarnya berasal dari pepatah Aceh ‘Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita’

Pada asalnya, pepatah ini lahir dari kisah pelaksanaan hukum yang dijalankan oleh Sultan Iskandar Muda terhadap Putera Mahkotanya sendiri.

Sultan Iskandar Muda merupakan seorang sultan yang berkepribadian kuat. Malah, baginda juga dikatakan seorang yang adil dan sangat tegas dalam menerapkan syariat Islam.

Kejadian tersebut berlaku apabila Putera Mahkota kesayangannya, Meurah Pupok didakwa melakukan perbuatan terkutuk iaitu berzina dengan isteri seorang pahlawan.

Dikatakan, perkara terkutuk itu berlaku ketika pahlawan berkenaan sedang bertugas melatih tentera Aceh. 

Pahlawan tersebut kemudiannya menyerah diri kepada sultan setelah beliau membunuh isterinya sendiri. Kemudian, beliau bertindak membunuh diri setelah melaporkan perkara itu.

Sultan Iskandar Muda sangat murka dengan berita tersebut lalu bertitah “Aku adalah sultan penguasa Aceh, Sumatra, dan Melayu. 

Aku telah memimpin Aceh dan menaklukkannya dengan menegakkan hukum seadil-adilnya. Aku akan menegakkan hukum terhadap keluargaku sendiri. 

Aku juga akan menghukum Putera Mahkota dengan seberat-beratnya. Aku akan memenggal leher puteraku sebab telah melanggar hukum dan adat negeri ini.”

Walau bagaimanapun, ahli tertinggi kerajaan menasihati sultan untuk tidak melakukan hukuman berat ini dan memberikan hukuman seperti mengusirnya dari kerajaan. 

Namun begitu, baginda tidak mendengar pujuk rayu mereka dan saat itulah lahirnya pepatah ‘Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita’ yang bermaksud ‘mati anak ada kuburnya, hilang adat di mana hendak digantikan’.

Ketika hukuman penggal itu hendak dijalankan, Meurah Pupok dilihat tenang dan meminta agar kepalanya tidak ditutup kerana baginda ingin melihat wajah ayahandanya buat kali terakhir.

Setelah memenggal anakandanya sendiri, baginda sultan kemudian menitahkan agar Meurah Pupok dimakamkan di luar kawasan perkuburan diraja. 

Kesahihan perbuatan zina anakandanya tidak dapat dibuktikan kerana ada yang berpendapat perkara tersebut merupakan agenda untuk menjatuhkan Putera Mahkota.

Akan tetapi, hukuman yang dilakukan oleh Sultan Iskandar Muda dilihat sebagai penegak keadilan yang tidak mengira darjat. 

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: