Kisah Pemergian Kim Jong Nam Bakal Temui Anda Dalam Dokumentari ‘Assassin’

Negara dikejutkan dengan berita abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Jong-nam menghembuskan nafas terakhir empat tahun lalu di tangan dua orang wanita dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Selepas empat tahun, sebuah dokumentari oleh pengarah dari Amerika Syarikat iaitu Ryan White bakal merungkai kisah di sebalik kejadian hitam yang berlaku di KLIA2 pada 13 Februari 2017.

Ryan telah menghabiskan dua tahun setengah untuk mengkaji kes berprofil tinggi ini sebelum beliau muncul dengan idea untuk menghasilkan dokumentari Assassin.

Insiden itu telah berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) dan disiarkan di seluruh dunia. Walaupun begitu, butiran insiden berkenaan masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Sumber: VOA

Apa yang diketahui umum hanyalah tertuduh iaitu Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Huong dari Vietnam telah didakwa meracuni Jong-nam dengan senjata kimia.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili kedua-dua wanita berkenaan menjelaskan bahawa suspek telah dipergunakan oleh ejen Korea Utara. Kedua-dua individu terbabit berkata bahawa tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan realiti dan tidak tahu bahawa mereka telah meracuni mendiang Jong-nam.

Walau bagaimanapun, pegawai dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat mendakwa bahawa terdapat gerakan daripada rejim Korea Utara untuk menamatkan riwayat Jong-nam kerana mendiang lantang mengkritik pemerintahan keluarganya.

Kim Jong-nam. Sumber: The Washington Post

Sudah tentu, dakwaan tersebut telah dinafikan oleh Pyongyang. Selama Ryan menghasilkan dokumentari ini, dia telah mengumpul bukti di luar dan dalam mahkamah.

Dia turut hadir ke perbicaraan dan menemu ramah peguam serta ahli keluarga. Lelaki itu juga sempat ke Indonesia dan Vietnam untuk merungkai cerita Aisyah dan Doan.

Untuk anda yang mahu tahu dengan lebih lanjut, tarikh tayangan sebenar dokumentari berkenaan masih belum diketahui lagi. Namun, ia difahamkan akan memasuki pawagam dan juga bakal disiarkan dalam bentuk digital.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan Korea Utara, anda boleh klik pada pautan di bawah: