Siapa sahaja yang tidak mengenali pasaraya 99 Speedmart? Pasaraya ini terkenal di serata Malaysia dengan harga barangannya yang murah dan berpatutan.
Namun, tahukah anda pengasas 99 Speedmart, Lee Thiam Wah merupakan seorang insan istimewa yang berjaya dan disanjungi ramai?
Latar Belakang Lee Thiam Wah
Lee Thiam Wah dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang kurang senang. Ayahnya merupakan seorang pekerja binaan manakala ibunya adalah seorang penjaja.
Pada usia seawal lapan bulan, Lee Thiam Wah diserang penyakit poliomyelitis atau lebih dikenali sebagai polio yang menyebabkan beliau kehilangan keupayaan menggunakan kaki dan terpaksa duduk di kerusi roda untuk bergerak.
Beliau mempunyai 11 orang adik-beradik namun terpaksa dijaga oleh neneknya akibat penyakit yang dihadapinya. Beliau juga kemudiannya terpaksa menamatkan sekolah rendah akibat kekurangannya itu.
Meskipun demikian, Lee Thiam Wah tetap berusaha untuk memperbaiki dirinya dan terus belajar dengan usahanya tersendiri iaitu dengan meminjam buku dari jirannya.
Dengan keadaannya yang berkerusi roda itu menyukarkannya untuk mencari pekerjaan, beliau mula menjual makanan ringan di kaki lima untuk mencari sumber pendapatan.
Neneknya memberi sokongan dan galakan untuknya menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan sambil menemani beliau berniaga.
Bermula Dari Sebuah Kedai Runcit
Berkat ketekunannya meniaga serta menyimpan hasil jualannya, Lee mula memberanikan diri membuka sebuah kedai runcit dengan bermodalkan RM17 ribu yang berjaya dikumpul sekian lama pada usia 23 tahun.
Di sinilah beliau mula belajar asam garam perniagaan sebenar dengan mempelajari semuanya menerusi apa yang dilihat olehnya setiap hari.
Beliau mengakui beliau banyak belajar dengan mengkaji apa yang pelanggannya gemar beli dan mula mempelajari pesaingnya serta harga yang mereka tawarkan.
Lama kelamaan kedai runcitnya itu mula berkembang namun beliau masih mahu mencabar dirinya sendiri kerana Lee menyedari model perniagaannya itu tidak akan mampu bersaing dengan kedai-kedai milik warga Cina yang lain terutamnya pasaraya yang besar.
Oleh itu, beliau menjual kedai runcit kecilnya itu dan membuka cawangan pertama pasar mini di Klang Utama yang dinamakan Mini Market 99 pada tahun 1999 dengan modal RM38 ribu yang diperoleh melalui jualan kedai tersebut.
Daripada Kedai Runcit ke 99 Speedmart
Tidak lama selepas itu, beliau menukar nama pasar mininya itu kepada 99 Speedmart dan meluaskan empayarnya dengan membuka beberapa buah cawangan baru di sekitar Klang.
Lee Thiam Wah kemudiannya melebarkan sayap perniagaannya ke seluruh Malaysia. Pada bulan Jun 2016, 99 Speedmart telah melancarkan gerai ke 800 mereka di Taman Pahlawan, Melaka.
Dalam wawancaranya bersama pihak Forbes pada tahun 2010, beliau mempunyai pendapatan sebanyak RM150 juta setiap tahun dengan kira-kira 2,000 orang pekerja.
Pengajaran yang dapat kita ambil daripada kisah ini ialah rahsia kejayaan Lee Thiam Wah ini terletak pada semangat dan cita-citanya yang tinggi serta kegigihannya.
Beliau juga membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah alasan atau halangan untuk seseorang itu berjaya.