Kisah Doktor Malaysia Yang Menjadi Inspirasi Dalam Penciptaan Pelitup Muka Perubatan

Antara saranan utama yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani penularan wabak COVID-19 adalah penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri terutamanya tangan dan memakai pelitup muka.

Ada satu kisah menarik mengenai pelitup muka yang dipakai oleh kita semua pada hari ini. Tahukah anda siapakah pencipta di sebalik pelitup muka keselamatan yang kita pakai ini? Lagi mengejutkan, individu yang memberi inspirasi kepada penciptaannya adalah seorang rakyat Malaysia.

Pendedahan mengenai Dr. Wu Lien-Teh ini dibuat oleh Professor Paul Tambyah, Presiden Persatuan Mikrobiologi dan Jangkitan Klinikal berdasarkan beberapa rekod dan laporan yang ditemui di National University of Singapore. Mungkin ramai juga tidak tahu bahawa Dr. Wu Lien-Teh pernah dicalonkan sebagai penerima Anugerah Nobel pertama dari Malaysia.

Wu Lien-Teh lahir pada tahun 1879 dan meningal dunia pada pada tahun 1960. Beliau juga dikenali sebagai sebagai Goh Lean Tuck dan Ng Leen Tuck dalam bahasa Minnan dan Kantonis. Dr. Wu adalah seorang doktor dari Tanah Melayu yang terkenal dengan pekerjaannya dalam kesihatan awam terutama sekali ketika membendung penularan wabak Manchuria pada tahun 1910-1911.

Dr. Wu dilahirkan di Pulau Pinang, salah satu daripada tiga negeri yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat bersama Melaka dan Singapura. Negeri-negeri Selat ketika itu membentuk sebahagian daripada jajahan Great Britain.

Ayahnya adalah seorang pendatang dari Taishan, China dan bekerja sebagai tukang emas. Keluarga ibunya juga berasal dari China dan Dr. Wu adalah penduduk generasi kedua Hakka di Tanah Melayu. Dr. Wu mempunyai empat orang adik-beradik lelaki dan enam orang adik-beradik perempuan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Penang Free School sebelum diterima masuk ke Emmanuel College, Cambrigde pada tahun 1984 selepas mendapat tajaan Queen’s Scholarship. Beliau sememangnya seorang yang cemerlang dan menerima banyak pengiktirafan dan bantuan kewangan ketika di universiti.

Beliau kemudian meneruskan latihan industri (housemanship) di St Mary’s Hospital, London dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Liverpool School of Tropical Medicine. Pada tahun 1903, beliau akhirnya pulang semula ke Pulau Pinang setelah menamatkan pengajiannya dapat bidang perubatan.

Pada tahun 1910, beliau telah dipanggil oleh kerajaan China ke Harbin dalam usaha melawan sejenis penyakit misteri yang sangat berbahaya. Penyakit ini boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia akibat perdagangan bulu haiwan pada ketika itu. Dilaporkan 95 peratus pesakit akan meninggal dunia akibat wabak ini.

Kereta Api trans-Siberia yang membwa penumpang dan barang untuk perdagangan ke Eropah termasuk bulu marmot (sejenis haiwan daripada spesies tikus) yang diperolehi di timur laut China telah memudahkan penularan wabak itu. Seseorang yang menghidap penyakit itu boleh menaiki kereta api di Harbin dan beberapa hari kemudian tiba di Paris atau Berlin untuk menyebarkan penyakit itu.

Penyakit yang menyerang kawasan Manchuria itu kemudiannya dikenali sebagai pandemik Manchuria dan dikatakan telah meragut nyawa 60,000 manusia. Namun, hasil Dr. Wu dan pasukannya, mereka berjaya mengekang wabak berkenaan dalam tempoh beberapa bulan kemudian.

Namun, bukan itu sahaja kejayaan yang membanggakan. Hasil ideanya juga, beliau telah memberi inspirasi kepada penciptaan pelitup muka keselamatan piawaian N95 yang digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang pada masa kini. N95 merupakan piawaian antarabangsa yang bermaksud pelitup itu mampu menapis 95 peratus partikel kecil di udara yang masuk melaluinya.

Pada peringkat awal kemunculan wabak Manchuria ini, ramai doktor tempatan berpendapat bahawa kutu atau serangga kecil merupakan agen penyebar penyakit ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan satu autopsi yang dilakukan terhadap seorang mangsa yang terkorban menunjukkan sebaliknya.

Daripada bedah siasat yang dilakukan, beliau dapati bahawa wabak ini sebenarnya tersebar melalui udara. Oleh itu, beliau telah mencipta satu pelitup muka yang diubah suai daripada pelitup muka pembedahan (surgical masks) sedia ada yang sudah digunakan di negara-negara Barat ketika itu.

Beliau telah menambah lebihan kain kasa dan kapas pada pelitup muka pembedahan sedia ada yang berfungsi untuk menapis udara. Gerald Mesny, seorang doktor terkemuka Perancis datang untuk menggantikan Dr. Wu enggan memakai pelitup tersebut dan meninggal beberapa hari kemudian akibat wabak itu.

Selain itu, Dr. Wu juga telah memulakan usaha kuarantin dan mengarahkan usaha pembasmian kuman dilakukan di hospital. Malah, beliau turut mengarahkan bangunan asal tempat rawatan wabak ini dibakar dan pesakit dipindahkan ke pusat rawatan yang baru.

Seterusnya, beliau juga telah mencadangkan agar mayat-mayat mangsa wabak ini dibakar dan tidak ditanam. Pada ketika itu, adalah mustahil untuk menanam mayat mangsa wabak tersebut jauh ke dalam tanah kerana tanah yang sedang sejuk membeku akibat musim sejuk. Oleh itu, mayat biasanya hanya akan dilupuskan dengan merendamnya dalam parafin sebelum membakarnya.

Proses pembakaran mayat mangsa wabak ini ternyata menjadi titik perubahan wabak ini apabila bilangan kes yang dilaporkan mulai berkurangan. Dalam tempoh beberapa bulan kemudiannya, wabak terebut telah diisytiharkan pupus.

Dr. Wu bekerja dalam bidang perubatan sehingga berusia 80 tahun. beliau ketika itu telah membeli sebuah rumah baru di Pulau Pinang untuk persaraannya. Beliau telah menghasilkan sendiri tulisan autobiografi setebal 667 halaman yang bertajuk “Plague Fighter, the Autobiography of a Modern Chinese Physician.”

Dr. Wu akhirnya meninggal dunia akibat strok di rumahnya di Pulau Pinang pada 21 Januari 1960.