Kisah Di Sebalik Penciptaan Bra

Baju dalam atau kita biasa panggil ‘bra’, adalah semacam menjadi satu keperluan asas kepada golongan wanita. Bahkan dalam masyarakat Melayu, wanita sudah diajar untuk memakai baju dalam seawal umur belasan tahun atau sesudah mencapai akil baligh.

Namun, tahukah anda bagaimana sejarah penciptaan baju dalam wanita ini?

Asal Usul Nama ‘Bra

Asal usul perkataan ‘bra‘ telah diambil daripada perkataan ‘brasierre’, perkataan bahasa Perancis yang membawa maksud ‘pelindung bahu’.

Pada tahun 1907, perkataan tersebut lebih popular apabila pengguna Bahasa Inggeris kerap menggunakannya dalam majalah Vogue. Ianya menjadi perkataan yang seringkali meniti di bibir para wanita pada zaman tersebut.

Pada tahun 1911 pula, perkataan ‘brasierre’ telah rasmi dimasukkan dalam daftar kata yang membawa maksud ‘pakaian yang mengikut tubuh badan yang dipakai untuk menyokong buah dada wanita’ dalam Bahasa Melayu.

Sebelum kemunculan bra, korset telah terlebih dahulu diperkenalkan semenjak abad ke-16 di Perancis.

Kebanyakan wanita di Perancis beranggapan pemakaian korset adalah kaedah yang paling mudah digunakan untuk menonjolkan buah dada mereka serta mendapatkan bentuk badan yang diinginkan wanita pada ketika itu.

Pada waktu tersebut, korset diperbuat daripada kayu atau tulang ikan paus yang dijahit ke dalam fabrik. Hal ini menjadikan setiap korset mempunyai bentuk yang keras dan pemakaiannya menimbulkan ketidakselesaan kepada pemakainya.

Lebih 400 ratus tahun korset mampu bertahan dan menjadi aksesori wajib bagi kaum wanita.

Ketika abad ke-19, pemakaian korset digantikan dengan bengkung yang dinamakan ‘girdle’.

Girdle‘ mempunyai bentuk yang mengikut bentuk tubuh serta lembut dan selesa apabila dipakai berbanding dengan korset. Justeru, penggunaan ‘girdle’ sering kali digunakan oleh para wanita untuk terlihat mempunyai pinggang yang ramping bak kerengga.

Kisah Disebalik Awal Mula Penciptaan Bra

Titik tolak penciptaan bra ini bermula dari seorang wanita yang bernama Mary Phelps Jacobs yang berumur 16 tahun. Beliau perlu menghadiri satu majlis rasmi yang memerlukan dia memakai korset pada ketika itu.

Oleh kerana buah dada Mary bersaiz agak besar, dadanya terasa sakit berikutan korset yang dipakainya. Tambahan pula, korset yang dipakai kelihatan terkeluar daripada gaun dan agak mencacatkan penampilannya.

Mary kemudiannya memikirkan satu jalan penyelesaian untuk kelihatan menawan tanpa perlu merasai kesakitan. Beliau mengambil dua helai sapu tangan dan riben yang diperbuat daripada sutera. Kemudiannya, keduanya dijahit menjadi sehelai pakaian dalam yang mampu menyokong buah dadanya.

Pakaian dalam yang telah dicipta secara tidak sengaja oleh Mary membolehkan beliau menari dengan lebih bebas tanpa rasa sakit dan perkara ini menimbulkan tanda tanya pada tetamu wanita lain yang turut hadir ke majlis tersebut.

Penulis

  • Nurul Naafizah Binti Ibrahim adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
  • Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaidi Bin Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.