Hari ini, penganut agama Buddha di Malaysia menyambut Hari Wesak di rumah masing-masing dalam normal baharu berikutan wabak pandemik COVID-19. Hari Wesak pada tahun ini dirayakan tanpa festival di kuil dan perarakan waktu malam seperti sebelum ini.
Untuk pengetahuan, sambutan Hari Wesak adalah berbeza dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali mahupun Krismas. Sambutan Hari Wesak adalah lebih sederhana serta kurang diperkatakan.
Tahukah anda apakah sejarah di sebalik sambutan Hari Wesak? Mari penulis kongsikan serba sedikit mengapa Hari Wesak disambut pada setiap tahun.
Perkataan Wesak adalah berasal daripada perkataan Pali iaitu Vesakha. Manakala dalam bahasa Sanskrit pula disebut sebagai Vaisakha. Vaisakha adalah nama bulan dalam kalender Hindu yang mengisyaratkan masuknya bulan kelima.
Menurut kepercayaan Buddha, mereka menyambut perayaan di bulan ini sempena memperingati Siddharta Gautama Buddha sempena tiga perkara iaitu Buddha dipercayai lahir pada purnama bulan Vesakha. Selain itu, beliau juga mendapat pencerahan agung dalam pertapaan dan beliau juga dikatakan meninggal dalam bulan ini. Oleh itu, bulan ini dikatakan sangat penting bagi penganut Buddha untuk memperingatinya.
Bagi memudahkan orang Islam Melayu memahaminya, ianya adalah perayaan Maulid Buddha. Perkataan Maulid dalam bahasa Arab bermaksud tempat atau waktu seseorang dilahirkan. Sama seperti Kristian, mereka juga mempunyai hari memperingati kelahiran Jesus Christ pada 25 Disember iaitu Krismas dengan menganggap tarikh tersebut adalah hari Jesus dilahirkan. Begitu juga umat Islam yang menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal dengan beranggapan tarikh tersebut Nabi Muhammad SAW dilahirkan.
Sejarah memperingati Buddha pada bulan Vesakha bermula selepas kematian Siddharta Gautama Buddha dan perayaan ini kemudiannya diselaraskan secara rasmi pada persidangan pertama World Fellowship of Buddhists di Sri Lanka pada tahun 1950. Mereka bersepakat untuk meraikan setiap kali purnama dalam bulan Mei.
Sambutan Hari Wesak adalah berbeza-beza di seluruh dunia. Di Malaysia khususnya, penganut agama Buddha akan berkunjung ke kuil untuk membersihkan dan menggantung tanglung serta lampu. Selain itu, mereka akan bermeditasi dengan ajaran agama Buddha, menderma dan berdoa.
Mereka juga akan berarak beramai-ramai sambil membawa seni hias berupa patung Buddha dan simbol berkaitan dengan Buddha di jalan raya pada malam Wesak. Antara simbol ikon yang dilambangkan kepada Buddha adalah seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan benda peninggalan Buddha. Para penganut Buddha juga akan melafazkan Triratna iaitu tiga ucapan perlindungan kepada Buddha, Dhamma dan Sangha untuk memperbaharui azam mereka kepada ajaran Buddha.
Itulah serba sedikit yang anda perlu tahu mengenai mengapa Hari Wesak disambut pada setiap tahun.
Jadi, bagaimanakah sambutan Hari Wesak anda? Kongsikan pendapat atau pengalaman anda di ruangan komen di bawah.