Kisah Di Sebalik 10 Negara Yang Menukar Nama

Banyak perkara yang mempengaruhi pertukaran nama yang dibuat oleh sesebuah negara. Antaranya ialah pembahagian tanah, peperangan, perubahan kerajaan, kemerdekaan dan sebagainya.

Contoh yang terdekat ialah negara kita sendiri, asalnya bernama Tanah Melayu satu ketika dahulu dan ditukar kepada Malaysia selepas beberapa sejarah besar terjadi seperti kemerdekaan dan juga penyertaan Sabah dan Sarawak.

Proses untuk menukar nama bukanlah sesuatu perkara kecil dan mudah. Ia menelan kos yang agak tinggi, tetapi masih ada negara yang berbuat demikian.

Proses pertukaran nama dikenali sebagai penamaan semula geografi iaitu perubahan nama bagi ciri geografi atau kawasan. Ia boleh merangkumi perubahan dari nama jalan kepada nama sesebuah negara.

Sesetengah nama boleh ditukar secara tempatan tetapi nama-nama baharu ini tidak diiktiraf oleh negara antarabangsa terutamanya jika terdapat perbezaan bahasa.

Ini antara 10 negara yang menukar nama negara mereka:

1. Holland bertukar kepada Netherlands

Sebagai salah satu cara untuk menyatukan semua wilayah yang merupakan sebahagian dari Belanda dan sebagai langkah pemasaran, dua wilayah yang menggunakan ‘Holland’ tidak lagi dipanggil ‘South Holland’ dan ‘North Holland’.

Bermula Januari 2020, kedua-dua wilayah itu menjadi Netherlands seperti negeri-negeri lain juga. Perkara ini melibatkan banyak perubahan termasuklah nama pasukan bola sepak mereka.

2. Ceylon bertukar kepada Sri Lanka

Dahulu Sri Lanka dikenali sebagai Ceylon. Ceylon purba menukar namanya ini yang pada asalnya diberi oleh Portugis ketika mereka menemuinya pada tahun 1505.

Negara ini kemudiannya menjadi sebahagian daripada Empayar Inggeris dan mengecapi kemerdekaan pada tahun 1948.

Selepas beberapa tahun kemudian, barulah kerajaan pulau ini memutuskan untuk melakukan pertukaran terhadap nama negara mereka.

3. Republik Czech bertukar kepada Czechia

Bagi memudahkan penamaan negara pada acara sukan dan juga sebagai sebahagian daripada usaha pemasaran syarikat di seluruh dunia, Republik Czech memendekkan namanya kepada Czechia pada April 2016.

Usaha itu telah dibincangkan selama 20 tahun dan akhirnya mereka memutuskan untuk memendekkan nama supaya sebutan lebih mudah dalam enam bahasa rasmi negara ini iaitu Bahasa Inggeris, Perancis, Rusia, Cina, Sepanyol dan juga Arab.

Walaupun bagaimanapun, nama rasmi masih tetap kekal sebagai Republik Czech. Czechia hanya menjadi nama rasmi pendek bagi negara ini.

4. Burma bertukar kepada Myanmar

Pada tahun 1989, kerajaan tentera negara Burma bertekad untuk menukar nama negara mereka dari Burma kepada Myanmar. Ia sebagai salah satu usaha untuk mengekalkan cara ia ditulis dalam bahasa setempat iaitu Myanma.

Sebenarnya pucuk pimpinan yang ingin menukar nama negara ini, bukan semua penduduk setuju dengan keputusan yang telah dibuat ini.

Oleh sebab itu, masih terdapat beberapa pihak merujuk negara ini sebagai Burma bukannya Myanmar.

5. Siam bertukar kepada Thailand

Pertukaran nama Siam kepada Thailand bukanlah berlaku pada waktu yang terdekat. Perubahan nama ini telah dilakukan pada tahun 1939 oleh raja yang memerintah negara ini pada waktu itu.

Dalam bahasa tempatan, nama itu disebut sebagai “Prathet Thai” yang membawa maksud “negara orang bebas”. Ia sebagai satu penghormatan kepada peneroka pertama yang tiba di tanah ini dalam mencari kebebasan dari China.

6. Republik Makedonia bertukar kepada Republik Makedonia Utara

Negara ini mengubah nama kepada Republik Makedonia Utara pada Februari 2019.

Sebab utama pertukaran nama itu adalah untuk menjadi sebahagian daripada NATO dan juga untuk membezakan nama dengan negara jiran mereka iaitu Greece yang mempunyai wilayah bernama Makedonia.

7. Swaziland bertukar kepada Eswatini

Tanggal April 2018, Raja Swaziland telah mengeluarkan satu kenyataan mengisytiharkan bahawa nama negara itu akan ditukar kepada Eswatini.

Pertukaran itu tidak mengejutkan rakyatnya kerana nama itu telah lama digunakan dalam kalangan mereka.

Eswatini adalah terjemahan Swaziland ke dalam bahasa setempat yang bermaksud “tanah orang Swazi”.

Selain itu, nama Swaziland juga dikatakan agak mengelirukan kerana ada pihak yang tersalah anggap dengan negara Switzerland.

8. Alto Volta bertukar kepada Burkina Faso

Bagi meraikan ulangtahun ke-2 kemerdekaan negara itu, Republik Alto Volta ditukar nama kepada Burkina Faso.

Burkina Faso membawa maksud “tanah semua orang lelaki”.

Perubahan itu dibuat pada tahun 1984 bersama-sama sekali dengan perubahan bendera dan lagu kebangsaan mereka.

9. Jerman Selatan Afrika bertukar kepada Namibia

Selepas mendapat kemerdekaan dari Jerman, negara ini dinamakan semula kepada nama Namibia.

Perubahan nama negara ini terjadi pada tahun 1990.

Selepas itu, nama-nama bandar serta wilayah yang sebelum ini dalam bahasa Jerman juga ditukar.

Namun, rakyat negara ini tidak begitu bersetuju dengan perkara ini kerana mereka sudah biasa dengan nama lama.

10. Cape Verde bertukar kepada Republik Cabo Verde

Antara negara yang baru sahaja menukar nama adalah Cape Verde iaitu pada tahun 2013.

Ia ditukar kepada Republik Cabo Verde atau Cabo Verde sahaja.

Begitulah serba sedikit kisah beberapa buah negara di dunia ini yang menukar nama mereka kepada nama baharu. Pertukaran nama yang dibuat oleh sesebuah negara itu pasti bersebab dan kebiasaannya telah mendapat sokongan majoriti masyarakat negara itu sendiri.

Sumber: