Kisah Bagaimana 5 Wabak Penyakit Terburuk Dalam Sejarah Berakhir

Penularan wabak bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilalui oleh semua pihak, lebih-lebih lagi wabak yang berskala pandemik. Ia memberi banyak kesan dalam kehidupan semua.

Pada fasa ini, dunia sedang dilanda pandemik COVID-19 dan boleh dikatakan hampir seluruh negara terkesan dengan wabak ini. Pada waktu ini, kita berkurung di dalam rumah untuk memutuskan penularan COVID-19 daripada terus tersebar. Tidak boleh digambarkan dugaan mereka yang dijangkiti oleh wabak ini. Diharapkan mereka semua terus kuat untuk melawan penyakit ini.

Bila dan bagaimana wabak COVID-19 bakal berakhir terus menjadi persoalan. Semoga wabak ini berakhir dengan kadar yang segera.

Pelbagai jenis wabak berjangkit telah wujud pada zaman dahulu lagi. Kebanyakkan wabak ini telah meragut nyawa sebahagian populasi dunia ketika itu.

Berikut merupakan lima kisah ringkas bagaimana wabak atau pandemik yang pernah berlaku dalam sejarah berakhir:

1. Wabak Justinian (tahun 540)

Kisahnya dipercayai akibat kehadiran tikus-tikus dalam kapal yang datang dari Mesir ke sebuah pekan pelabuhan bernama Pelusium. Ia meyebabkan jangkitan wabak mula merebak ke bandar-bandar besar seperti Alexandria dan Constantinople iaitu merupakan pusat pentadbiran Empayar Byzantine.

Wabak ini menular melangkaui benua Eropah, Asia dan juga Afrika. Anggaran mangsa yang terkorban akibat wabak ini ialah 100 juta orang, angka itu sahaja separuh daripada populasi manusia pada waktu itu. Ketika itu, tiada kaedah yang boleh digunakan untuk membendung penyebaran wabak itu.

Berdasarkan kepada kajian tentang kemajuan perubatan zaman itu, wabak Justinian ini dikatakan tamat bukan kerana penemuan penawar tetapi kerana semua yang teruk dijangiti meninggal dunia.

2. Maut Hitam atau Black Death (abad ke-14)

Dikenali dengan nama The Black Death oleh masyarakat Eropah yang juga menjadi mangsa paling ramai dijangkiti. Wabak ini merupakan wabak jangkitan yang sama seperti wabak Justinian serta mencatatkan kadar kematian yang hampir sama.

Black Death dipercayai bermula dari Asia Tengah sebelum ia merebak ke China dan sampai ke Crimea (Russia) yang juga menjadi laluan utama wabak itu sampai ke Eropah. Dianggarkan 30 ke 60 peratus penduduk Eropah meninggal dunia dalam wabak ini.

Untuk menghentikan penularan wabak, pihak berkuasa palabuhan Venice yang menyedari puncanya datang daripada isi anak kapal yang berlabuh, telah memperkenalkan undang-undang agar semua anak kapal yang hadir perlu menunggu di pelabuhan selama 30 ke 40 hari.

Tetapi wabak ini tidak tamat di situ sahaja, kerana kesannya terus menular di banyak lagi negara. Tetapi kaedah yang diperkenalkan itu mampu untuk memperlahankan penulurannya.

3. Wabak Huey Cocoliztli (abad ke-16)

Wabak yang bersifat epidemik ini berlaku dalam kalangan masyarakat Aztec dalam dua fasa iaitu dari tahun 1545 hingga 1548 dan 1576 hingga 1580.

Kesannya amat menakutkan apabila ia menyebabkan populasi masyarakat Aztec pada ketika itu menurun daripada 20 juta orang menjadi hanya 2 juta orang.

Wabak ini berpunca disebabkan kedatangan pedagang Sepanyol ke kawasan itu yang dipercayai membawa bermacam jenis penyakit. Jangkitan ini tidak berhenti sehingga kes terakhir yang dilaporkan pada 1815.

4. Wabak besar Yunnan (tahun 1855)

Direkodkan bermula seawal tahun 1787 dalam skala yang kecil, wabak besar Yunnan melanda dalam beberapa fasa. Ia dikatakan berpunca daripada usaha pembangunan atau urbanisasi yang dijalankan. Perkara ini menyebabkan populasi Yunnan meningkat mendadak dalam tempoh 100 tahun.

Kesedaran orang ramai tentang kaedah melawan wabak ini ketika itu sudah bermula. Masyarakat Yunnan menyedari jangkitan wabak kebiasaannya bermula disebabkan oleh kematian tikus. Jadi, mereka menanam bangkai tikus yang ada serta memasang api di dalam rumah.

Malangnya, langkah pencegahan itu gagal menghentikan wabak itu disebabkan oleh perang saudara yang terjadi. Situasi itu menyebabkan tahap kebersihan terpaksa diabaikan dan wabak itu menyerang secara besar-besaran bermula tahun 1855. Penurunan populasi sehingga 80 peratus di beberapa tempat akibat wabak itu.

5. Wabak penyakit cacar

Penyakit cacar merupakan jangkitan yang kerap berlaku dan direkodkan sejak 10,000 SM lagi. Wabak yang dikatakan datang dari kawasan penempatan di Afrika, pedagang Mesir yang pergi ke kawasan itu dan membawa jangkitan tersebut ke benua lain.

Sewaktu tempoh tersebut, pasti akan berlaku jangkitan cacar di beberapa kawasan. Aktiviti penjajahan yang berlaku di seluruh dunia oleh orang Eropah mula menyebabkan jangkitan ini merebak dengan lebih pantas. Di benua Eropah, dianggarkan 400,000 orang meninggal dunia akibat cacar dalam setahun.

Antara usaha yang dilakukan untuk menangani wabak cacar ini ialah proses inokulasi di mana akan dibuat bukaan pada kulit seseorang yang sihat dan ia akan dijangkitkan dengan nanah seorang pesakit cacar menjadi kaedah utama rawatan.

Akhirnya, seorang doktor British iaitu Edward Jenner berjaya mencipta vaksin pertama dunia untuk penyakit cacar pada tahun 1796. Bermula saat itu, barulah wabak ini berjaya dikawal.

Kes terakhir yang dicatatkan berlaku pada tahun 1975 dan kematian terakhir berlaku pada tahun 1978. Perkara ini selepas keberkesanan vaksin membolehkan jangkitan itu berjaya dihapuskan.

Sumber: