Penyokong tegar teori konspirasi biasanya mempunyai satu persamaan di antara mereka iaitu tujuan mereka menolak hujah atau bukti saintifik.
Mereka menganggap semua isu berkait dengan kajian saintifik merupakan satu bentuk kawalan minda yang patut ditolak dan disangsikan sejak awal lagi.
Terdapat satu kes yang berlaku di Amerika Syarikat di mana ia melibatkan seorang ahli farmasi berpengalaman.
Beliau juga difahamkan seorang pengikut tegar teori anti vaksin.

Steven R. Brandenburg merupakan seorang ahli farmasi bertauliah sejak tahun 1997 lagi dan turut mendapat lesen untuk menjadi pengamal perubatan.
Pada Disember tahun lepas, Brandenburg didakwa sengaja merosakkan 570 dos vaksin COVID-19 jenama Moderna yang disimpan di hospital beliau bertugas.
Beliau didapati mengeluarkan dua kotak yang mengandungi dos-dos vaksin tersebut dari peti sejuk dan membiarkannya berada dalam suhu bilik dengan niat menghilangkan tahap keberkesanan vaksin itu.
Perlu disimpan dalam peti sejuk untuk keberkesanan maksimum, ahli farmasi tersebut menyimpankan semula dos vaksin yang telah lama terbiar dalam suhu bilik itu ke dalam peti sejuk semula.
Sebanyak 57 orang telahpun disuntik menggunkan vaksin yang dirosakkan itu. Persoalannya, kenapa beliau berbuat demikian?
Brandenburg adalah antara individu yang mempercayai vaksin COVID-19 bakal merosakkan tubuh badan penerimanya dan bagi wanita, mereka tidak boleh mengandung lagi selepas menerimanya.
Beliau juga percaya terdapat mikrocip dalam vaksin untuk kegunaan jahat kerajaan. Lebih menarik lagi, Brandenburg juga menganggap COVID-19 tidak benar.
Siasatan lebih lanjut dijalankan selepas pendedahan kes sengaja merosakkan vaksin itu mendapati Brandenburg juga sedang berdepan kes tuntutan cerai oleh isterinya yang difailkan pada Jun 2020.
Dalam kertas tuntutan, isterinya menyenaraikan antara sebab utama penceraian adalah kerana kepercayaan Brandenburg kepada teori bahawa semua yang ada di depan mata sekarang adalah ilusi.

Brandenburg mempercayai langit yang kita nampak bukanlah benar, sebaliknya merupakan sebuah perisai fizikal yang dibina kerajaan-kerajaan dunia agar tidak mampu melihat Tuhan.
Dengan itu, beliau juga percaya bumi ini rata. Takut melihat suaminya yang berubah menjadi seorang pengikut tegar teori konspirasi, Gretchen Brandenburg melakukan tuntutan cerai dan menjadi salah seorang saksi dalam kes pendakwaan suaminya sendiri.
Ahli farmasi tersebut didedahkan sedang mempersiapkan semua kelengkapan dengan menyewa sebuah stor khas sebagai pusat simpanan bekalan makanan, air dan senjata yang diperlukan bila kejatuhan langit berlaku.
Beliau berbuat demikian juga untuk mempersiapkan diri bila kerajaan-kerajaan dunia menutup bekalan air dan elektrik kepada orang awam.
Pada 26 Januari 2021, Brandenburg didapati bersalah atas dua pertuduhan mensabotaj produk perubatan sehingga membahayakan nyawa orang lain tanpa mengambil kira risiko dari perbuatannya itu.

Dijatuhkan hukuman berat penjara maksimum 10 tahun untuk setiap pertuduhan, Brandenburg dikatakan sudah mula membawa senjata api ke tempat kerja semasa mula merancang perbuatan sabotajnya itu.
Apabila dipersoalkan keperluan membawa senjata api ke hospital, Brandenburg menyatakan bahawa beliau perlu perlindungan kerana pihak tentera akan hadir untuk menangkapnya.
Beliau juga menyatakan bahawa hari akhirat akan tiba tak lama lagi.
Kesan dari tindakannya itu telah mengakibatkan kesemua bekalan 570 dos bekalan vaksin COVID-19 disahkan rosak.
Pihak hospital menerima 600 dos keseluruhannya dan hanya 30 dos sempat disuntik terlebih dahulu.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: