Kerajaan Guna SPRM Untuk Beri Tekanan Pada Pembangkang – Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi tekanan kepada pihak pembangkang.

Ini berikutan penahanan beberapa pimpinan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang ditahan badan kerajaan itu baru-baru ini.

“Mereka disoal siasat itu tidak mengapa, tetapi kaedah yang digunakan itu salah. Mereka, dilihat memberi tekanan di mana salah seorang daripada pemimpin Armada ditahan selama empat hari. Ada seorang wanita turut disoal siasat di dalam bilik gelap oleh lima orang.

Kita persoalkan kaedah mereka telefon saksi pada waktu malam dan berjaga sehingga jam empat pagi, itu adalah tekanan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Malah, di media sosial hangat diperkatakan tentang etika SPRM dalam mengendalikan kes yang disiasat.

Tularnya video itu telah mencetus kemarahan warganet yang tidak tahan melihat ‘perangai samseng’ yang ditonjolkan oleh SPRM dalam menyoal siasat.

Susulan itu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menolak sekeras-kerasnya dakwaan Setiausaha Kehormat Youth Power Club, Siti Nurul Hidayah yang mendakwa dirinya diugut.

Terdahulu, beberapa pimpinan Armada ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sumber: