Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mula dilaksanakan pada Isnin ini yang menyaksikan sektor ekonomi akan dibuka semula secara terkawal.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan COVID-19 yang masih tidak dibenarkan.
“Kita mesti cari jalan untuk mengimbangi keperluan untuk memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak COVID-19.
Atas nasihat Kementerian Kesihatan berdasarkan data-data yang dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berhati-hati dengan menguatkuasakan SOP kesihatan yang ketat,” ujarnya
Keputusan ini walau bagaimanapun menerima reaksi yang kurang menyenangkan daripada rakyat Malaysia yang tidak memahami mengapa ianya begitu drastik diumumkan.

Malah, mereka juga mempersoalkan beberapa isu di mana kerajaan membenarkan rakyat untuk melakukan aktiviti riadah seorang diri. Hal ini demikian kerana, mereka khuatir jika diberi pelonggaran seperti itu akan ada yang mengambil kesempatan untuk keluar beramai-ramai.
Percaturan yang dilakukan oleh kerajaan ini sememangnya berisiko kerana ia bergantung kepada kesedaran diri setiap individu itu untuk menjaga keselamatan mereka. Malah, syarikat yang gagal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan akan dikenakan tindakan yang berat.
Justeru itu, premis yang ingin membuka untuk jualan ataupun syarikat yang mahu meneruskan operasi perlu memastikan setiap hari sepanjang PKPB ini berlangsung mereka menjaga kebajikan pekerja masing-masing dan elakkan daripada merisikokan mereka kepada COVID-19.
Ada yang berpendapat mengapa ia diumumkan secara tiba-tiba tanpa memberi persediaan kepada rakyat untuk bersedia dari segi mental dan kelengkapan untuk membuka premis.
Dr. Noor Hisham telah memberi penjelasan bahawa Malaysia telah memenuhi enam kriteria yang dilandaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Oleh itu, mereka membuat keputusan kolektif untuk memperkenalkan PKPB.

“Pada 14 April, kita berjaya landaikan dan hari ini, kes terkawal dan kita dapati ada dua angka, jadi bererti kita berjaya landaikan lengkuk dan berjaya elakkan peningkatan kes mendadak,” katanya sewaktu sidang media semalam.
Semestinya kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia lebih pakar dalam membuat keputusan dan faham mengapa ianya perlu dilaksanakan.
Malah, Perdana Menteri memaklumkan negara telah rugi RM2.4 billion sehari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Untuk menaikkan semula ekonomi negara yang kian merundum ianya satu langkah yang perlu.
Namun, sejauh manakah kesedaran rakyat Malaysia tentang normal baharu? Itu yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia.
Semoga dengan percaturan untuk membaik pulih kerajaan dengan melakukan PKPB ini berhasil dan tidak memudaratkan pada masa hadapan seperti yang terjadi pada Jepun dan Kanada.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee telah menegaskan, keputusan kerajaan itu adalah yang terbaik selepas hampir dua bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sebelum ini.
“Tetapi, ada juga berasa tidak selesa dan kurang gembira dengan PKPB kerana bimbang mangsa jangkitan virus COVID-19 akan kembali meningkat.
Semua harus faham, tindakan kerajaan itu dibuat hasil kajian dan perbincangan mendalam bersama kementerian berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencari jalan mengimbangi keperluan memulihkan ekonomi negara dan kepentingan membendung wabak tersebut.
Dengan pengenalan PKPB itu, sebahagian besar sektor ekonomi dan perniagaan akan kembali beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Sabtu.
Semoga Malaysia berjaya bebas COVID-19 tidak lama lagi!