Kenapa Seseorang Itu Kidal? Ini Adalah Jawapannya

Kidal adalah seseorang yang menggunakan tangan kiri untuk melakukan pelbagai aktiviti. Sementara majoriti daripada kita melakukan pelbagai aktiviti menggunakan tangan kanan, mereka ini adalah sebaliknya.

Seseorang yang menggunakan tangan kiri dikatakan unik dan berbakat. Dianggarkan sebanyak 10% daripada populasi dunia adalah kidal. Antara tokoh terkenal dunia yang kidal ialah, Barrack Obama, bekas Presiden Amerika Syarikat dan juga Bill Gates, orang terkaya dunia.

Untuk pengetahuan, setiap tahun pada 31 Ogos telah diiktiraf sebagai Hari Tangan Kidal Sedunia.

Seseorang yang kidal mempunyai halangan dan cabarannya yang tersendiri. Hal ini adalah disebabkan penciptaan sesuatu barangan selalunya akan mengambil kira pengguna yang menggunakan tangan kanan sebagai tangan yang dominan.

Contohnya kerusi di dewan seminar yang mempunyai sambungan meja kecil padanya.

Selama beberapa tahun, para saintis telah cuba mengkaji tentang faktor yang menyebabkan seseorang itu menjadi kidal. Antara teori yang diperkatakan adalah keadaan ibu yang sentiasa tertekan semasa bayi berada dalam kandungan serta faktor umur ibu yang mengandung pada usia yang lebih tua.

Sejak tahun 1980-an, kajian mendapati bahawa penentuan tangan dominan sama ada kanan atau kiri dipercayai ditentukan sebelum seseorang bayi itu lahir. Pemeriksaan ultra bunyi menunjukkan ia mungkin berlaku seawal minggu kelapan kehamilan lagi.

Apabila sudah masuk minggu 13 kehamilan, bayi dalam kandungan sudah mula menghisap jari kiri atau kanan. Sebelum ini, saintis berpendapat bahawa perbezaan genetik pada bahagian kiri atau kanan otak berkemungkinan besar dapat menetukan sama ada seseorang bayi itu kidal atau tidak.

Walau bagaimanapun, laporan kajian yang diterbitkan pada tahun 2017, menyatakan bahawa saraf tunjang merupakan faktor yang menyebabkan seseorang itu kidal atau tidak.

Kajian yang dibuat oleh Sebastian Ocklenburg, Judith Schmitz serta Onur Gunturkan daripada Ruhr University mendapati bahawa aktiviti gen di saraf tunjang yang asimetri dalam rahim mungkin menentukan sama ada seseorang itu kidal atau tidak.

Pergerakan tangan dan lengan bermula daripada bahagian otak yang dikenali sebagai korteks motor. Bahagian inilah yang akan menghantar signal kepada saraf tunjang yang kemudian menterjemahkannya kepada pergerakan.

Para penyelidik ini mendapati bahawa ketika janin berkembang dalam rahim sehingga 15 minggu, penggunaan tangan kanan atau kiri sudah ditentukan walaupun korteks motor dan saraf tunjang masih belum disambungkan penggunaannya.

Bagi mendapatkan kepastian, para penyelidik ini telah mengkaji aktiviti gen di saraf tunjang janin pada 8 hingga 12 minggu tempoh kehamilan. Mereka mendapati bahawa terdapat perbezaan signifikan pada bahagian kiri dan kanan saraf tunjang yang mengawal pergerakan tangan dan lengan.

Menurut mereka, keadaan asimetri saraf tunjang ini mungkin disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai epigenetics, iaitu bagaimana sesuatu organisma itu terkesan disebabkan oleh perubahan pada aktivit gen dan bukan pada gen itu sendiri.

Perubahan aktiviti gen ini adalah disebabkan oleh faktor alam sekitar dan boleh mempengaruhi bagaimana seseorang bayi itu membesar.

Untuk pengetahuan, terdapat juga golongan yang mampu menggunakan kedua-dua tangan sebagai tangan dominan. Mereka ini dikenali sebagai Ambidexterity.

Jadi, adakah anda seorang yang kidal ataupun sebaliknya? Kongsikan pendapat atau pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Sumber: