Kenapa PWTC Strategik Untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur?

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan kembali sekali lagi pada tahun ini. Dari 27 Mac hingga 5 April 2020, pesta buku terbesar Asia Tenggara ini akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sejak 1991, acara pesta buku ini diadakan di PWTC dan tidak pernah berubah kecuali pada tahun 2016, yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Antara sebab mengapa PWTC sering menjadi pilihan, ialah kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur, di samping terletak berdekatan dengan laluan LRT Ampang-Sri Petaling Line.

Berhampiran dengan pusat membeli belah seperti Sunway Putra Mall, ia juga berhampiran dengan beberapa buah hotel seperti Seri Pacific, OYO Hotel, Leo Palace Hotel dan Sunway Putra Hotel.

Selain itu, kemudahan seperti surau yang cukup selesa dan luas menyebabkan ia sangat memudahkan orang awam untuk berkunjung ke situ.

Terdapat banyak gerai makanan dan minuman di sekitar bangunan tersebut di samping terdapat medan selera di tebing Sungai Gombak, memudahkan pengunjung untuk menikmati selera.

Dibina sejak 1981, kompleks ibu pejabat UMNO dijalankan dan siap dibina pada 1985 dengan kos kira-kira RM200 juta.

Dinamakan PWTC sempena nama perdana menteri pertama yang juga merupakan Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan ketika itu ia merupakan bangunan parti yang terbesar dalam dunia.

Apa daya menarik PBAKL tahun ini?

Pada pesta buku tahun ini, beberapa nama penulis popular seperti Teme Abdullah, Nadia Khan dan ramai penulis popular dari pelbagai penerbit buku seperti Lejen Press, Fixi, Iman Publication, The Patriots dan ramai lagi.

Teme dalam ciapannya di Twitter memberi petunjuk bahawa beliau akan menghadiri acara tersebut.

Nadia Khan pula mengesahkan bahawa beliau bakal melancarkan sebuah buku baharu berjudul Musketeers di mana ia merupakan prekuel/origin story kepada novel Gantung.

Buku ini diterbitkan oleh Fixi dan pembelian buku ini juga ialah sumbangan buat pembikinan #GantungTheMovie. Pra-tempahan akan bermula Jumaat ini (7 Februari 2020) dan akan mula dijual di PBAKL 2020.

Penulis yang popular dengan buku Lagenda Budak Setan, Ahadiat Akashah pula berkongsi pengalamannya ketika di pesta buku ini.

Beliau tersenyum mengenangkan bagaimana novel coretan beliau susut dengan lajunya di atas rak disambar para pembaca yang singgah di gerai adalah kenangan paling manis buat beliau.

Walaupun Lagenda Budak Setan merupakan buku yang popular, beliau mengatakan buku kegemarannya ialah Hikayat Cinderella.

Mengulas tentang perkembangan budaya membaca sejak 10 tahun ini, beliau berpendapat bahawa perkembangan budaya membaca di negara ini nampak positif.

“Pastinya budaya membaca terus berkembang dengan peningkatan populasi sesebuah negara menjadikan bilangan manusia boleh membaca meningkat saban tahun,” kata Ahadiat Akashah seperti dilaporkan portal I Am Lejen.

“Kewujudan internet dan telefon pintar juga menjadikan pemilihan cara dan jenis pembacaan lebih meluas di mana ia tidak terhad kepada fiksyen mahupun ilmiah semata-mata tetapi menjangkau pelbagai genre yang tidak terdapat di dalam buku-buku konvensional.

“Ini adalah perkembangan baik bagi pemburu ilmu yang segalanya berada di hujung jari, namun kesan buruk dan negatif seiringan menular bagi mereka yang mencari kandungan negatif dan sebaliknya,” ujar Ahadiat Akashah lagi.

Pesta buku terbesar Asia Tenggara ini bermula pada tahun 1972, apabila UNESCO mengumumkan bahawa tahun itu sebagai Tahun Buku Antarabangsa.

Sejajar dengan itu, pelbagai pameran buku dari syarikat tempatan mengambil inisiatif daripada promosi UNESCO ini.

Bagaimanapun, ia diadakan secara persendirian oleh syarikat buku di merata tempat dengan diskaun dan promosi oleh syarikat masing-masing.

Selepas itu ia dilangsungkan dalam sekala lebih kecil, sehingga pada tahun 1976, Persatuan Penerbit Buku Malaysia bercadang ia dianjurkan secara berpusat untuk memudahkan pemasaran.

Pesta buku ini dinamakan sebagai “Pameran Buku Kebangsaan”, yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.

Datanglah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 27 Mac hingga 5 April 2020.

Pesta buku kali ini paling happening kerana sejajar dengan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku dunia untuk tahun ini, serta pelbagai buku dengan diskaun yang bakal menawan hati peminat buku.

Untuk mendapatkan kemas kini terbaru tentang PBAKL 2020, anda boleh pergi ke laman sosial rasmi PBAKL di FacebookInstagram dan Twitter.