Terdapat empat warna sahaja untuk pasport yang diguna pakai oleh penduduk di seluruh dunia iaitu biru, merah, hijau dan hitam.
Pada mulanya, penulis turut menganggap bahawa terdapat peraturan khusus yang mengawal warna untuk dokumen perjalanan berkenaan tetapi ia adalah sebaliknya.
Memetik laporan Iluminasi, Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pernah mengusulkan cadangan tentang reka bentuk, saiz dan jenis huruf dalam panduan mereka untuk dokumen perjalanan.
Cadangan yang dikemukakan oleh ICAO itu termasuk dokumen tersebut boleh dibaca oleh mesin MRTD. Selain itu, pasport wajib diperbuat daripada bahan yang boleh melengkung dan masih boleh dibaca oleh mesin pada suhu antara -10 hingga 50 darjah Celsius serta pada kelembapan udara relatif antara 5 hingga 95%.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian penulis ialah kebanyakan negara ternyata memilih warna merah, biru dan hijau yang lebih gelap bukan kerana mereka mempunyai pilihan warna yang terhad tetapi warna-warna yang gelap itu kelihatan rasmi.
Sebagai organisasi yang membuat pasport untuk lebih daripada 60 buah negara, naib presiden sebuah syarikat keselamatan di Amerika Syarikat iaitu William Waldron turut mengesahkan bahawa mereka boleh keluarkan dokumen perjalanan berkenaan dalam apa sahaja warna yang ada di buku Pantone.
Walaupun begitu, negara-negara ini mempunyai alasan tersendiri untuk memilih warna spesifik bagi pasport yang dikeluarkan untuk warganegara mereka.
Penulis akan kongsikan tujuan pemilihan warna tersebut menerusi artikel ini:
1. Merah

Untuk pengetahuan anda, pasport yang berwarna merah ini kebiasaannya dikeluarkan di negara yang mempunyai sejarah atau masih dalam sistem komunis.
Slovenia, China, Serbia, Rusia, Romania, Poland dan Malaysia adalah antara negara yang menggunakan pasport berwarna merah.
Selain itu, negara anggota kecuali Croatia ataupun menyimpan hasrat untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) turut menggunakan pasport berwarna ini.
Atas sebab itu, pasport berwarna merah adalah yang paling banyak digunakan di dunia pada masa ini.
2. Biru

Sekiranya pasport berwarna merah ini kebiasaannya dikeluarkan di negara yang mempunyai sejarah atau masih dalam sistem komunis, pasport berwarna biru pula melambangkan new world.
15 negara Caribbean menggunakan pasport berwarna biru. Selain itu, negara-negara di Amerika Selatan kecuali Venezuela turut menggunakan pasport berwarna ini bagi memberi simbol perdagangan Mercosur.
Untuk pengetahuan anda, Mercosur ialah satu blok perdagangan yang dianggotai Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay. Tahun 1976 menyaksikan pasport untuk warganegara Amerika Syarikat bertukar kepada warna biru daripada hijau.
3. Hijau

Kebanyakan negara Islam seperti Maghribi, Arab Saudi dan Pakistan menggunakan warna hijau kerana ia adalah warna kegemaran baginda Rasulullah SAW. Selain itu, warna ini turut melambangkan alam semula jadi dan kehidupan.
Warganegara dari negara di Afrika Barat seperti Burkina Faso, Nigeria, Ivory Coast dan Senegal juga menggunakan pasport berwarna hijau.
Hal ini demikian kerana warna itu melambangkan negara-negara terbabit adalah daripada ECOWAS iaitu Masyarakat Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat.
4. Hitam

Penulis sendiri tidak nafikan bahawa ia merupakan pasport yang paling unik dan boleh dianggap rare. Warganegara Afrika seperti Botswana, Zambia, Burundi, Gabon, Angola, Chad, Congo dan Malawi menggunakan pasport berwarna hitam. Begitu juga dengan warganegara New Zealand.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh menonton video di bawah.