Kenapa Makan Epal Sebiji Sehari Dapat Memastikan Kita Sihat

An apple a day keeps the doctor away

Pernah dengar tak pepatah ini? Pepatah ini antara pepatah inggeris pertama yang biasanya seorang kanak-kanak akan belajar dalam kelas bahasa inggeris.

Saya ingat lagi pada waktu itu saya berumur 8 tahun pada waktu cikgu inggeris perkenalkan pepatah ini. Maksud asas pepatah ini kalau diterjemah secara terus ialah,

“sebiji epal sehari akan memastikan doktor sentiasa jauh.”

Frasa doktor sentiasa jauh itu bermakna kita sentiasa sihatlah, yang mana kita tak perlu pergi berjumpa doktor untuk rawatan. Dan ia bukanlah bermaksud sebab kita makan epal doktor takut nak dekati kita.

Jadi sebagai seorang budak saya percaya sajalah tentang pepatah ini, sehinggalah kadang-kadang saya menyuruh ibu saya membeli epal kerana terpengaruh. Akan tetapi apabila meningkat dewasa saya mula mempersoalkan tentang kebenaran pepatah ini.

Betulkah sebiji epal setiap hari dapat memastikan kita sihat? Kalau ya bagaimana?

Itulah yang saya ingin kupaskan hari ini.

Kalau secara faktanya memang epal adalah sumber serat, vitamin, mineral dan flavonoid yang baik (membantu mencegah kanser). Namun adakah mereka lagi baik daripada buah-buah yang lain?

Untuk setiap 100g, epal mempunyai lebih banyak serat daripada tembikai, mangga atau anggur, dan dua kali lebih banyak vitamin A daripada buah pir. Tetapi epal mempunyai kurang folat daripada beri biru dan kurang vitamin C daripada oren atau pisang.

Ternyata di sini, epal mempunyai kelebihannya dan juga kekurangannya berbanding buah lain. Jadi bolehlah dikatakan bahawa bukan epal sahaja yang boleh menyihatkan kita kalau dimakan setiap hari.

Ada satu kajian menarik yang telah dijalankan pada tahun 2015 yang bagi saya agak membongkar serba sedikit tentang kebenaran di sebalik pepatah ini.

Secara ringkasnya kajian tersebut meninjau diet untuk 8,000 orang dewasa di Amerika dan membandingkan jumlah bilangan lawatan bertemu doktor, penginapan di hospital dan ubat perskripsi antara pemakan epal dan bukan pemakan epal.

Kajian mendapati bahawa mereka yang makan sekurang-kurangnya satu epal setiap hari (sama ada keseluruhan, atau sebagai sebahagian daripada makanan lain) berkemungkinan sedikit kurang memerlukan lawatan bertemu doktor ataupun perskripsi untuk ubat.

Jadi secara tak langsung kajian ini telah membuktikan bahawa makan epal memastikan kita sihat bukan? Tak juga.

Ternyata perbezaan ini hilang apabila penyelidik menyesuaikan balik kajian tersebut dengan ciri sosio-demografi dan ciri keadaan kesihatan pesakit.

Mereka dapati, bukan makan sebiji epal sehari yang membuatkan anda tidak jatuh sakit, sebaliknya, orang yang sihat cenderung untuk makan lebih banyak epal.

Ini mungkin kerana pemakan epal juga membuat pilihan gaya hidup lain yang lebih positif untuk kesihatan mereka secara keseluruhannya.

Jadi apa kesimpulannya di sini?

Secara mudahnya, pepatah tersebut ada betul dan ada salahnya.

Betulnya memang kebiasaannya orang yang makan epal akan lagi sihat, tetapi ia bukanlah kerana memakan epal itu sendiri, tetapi orang yang makan epal biasa akan memilih gaya hidup yang lagi sihat secara menyeluruh.

Maknanya, bukan makan epal yang buat awak sihat namun pilihan gaya hidup. Dan terbukti melalui kajian pemakan epal lebih cenderung untuk membuat pilihan yang lagi positif untuk kesihatannya.

Pemakan epal lebih cenderung membuat pilihan gaya hidup yang lagi sihat.

Pepatah ini salah pula apabila anda makan epal setiap hari, namun masih mengekalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti meminum arak berlebihan, tidak bersukan dan makan makanan tidak sihat.  

Apabila anda makan epal tetapi tetap mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat, tidak dapat tidak anda pasti akan bertemu dengan doktor lebih kerap.

Boleh sahaja anda tak bertemu dengan doktor dalam keadaan ini, tak bertemu doktor tetapi bertemu pencipta terus.

Apa-apapun yang paling penting di sini ialah jagalah kesihatan anda. Bukanlah fokus pada satu jenis buah atau pemakanan yang akan memastikan anda sihat akan tetapi pemilihan gaya hidup positif yang menyeluruh.

Apabila sihat barulah boleh kaji pasal kebenaran pepatah lain pula.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: