Kenapa Kita Rasa Ingin Menguap Bila Melihat Orang Lain Menguap? Ini Adalah Jawapannya

Pernahkah anda terfikir mengapa bila anda melihat orang di sekeliling anda menguap, anda akan ikut sama untuk menguap walaupun pada ketika itu anda tidak berasa mengantuk?

Mari kami kongsikan jawapannya.

Menurut sekumpulan pakar dari University of Nottingham, mereka telah membuat satu penyelidikan mengenai ‘jangkitan’ menguap yang dicetuskan oleh refleks primitif dalam korteks motor utama iaitu kawasan otak yang bertanggungjawab ke atas fungsi motor.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology iaitu A basis for contagious yawning, ia mendapati agak mustahil untuk kita mengelakkan daripada turut sama menguap apabila melihat orang lain menguap di hadapan kita. Lebih kuat kita menahan untuk menguap, lebih tinggi keinginan untuk menguap.

Jangkitan menguap ini akan terjadi secara spontan dan tanpa kerelaan apabila kita memerhatikan individu lain menguap. Situasi yang dinamakan echophenomena ini adalah peniruan perkataan (echolalia) ataupun tindakan (echopraxia) individu lain yang berada berdekatan dengan kita. Namun, asas saraf berkaitan echophenomena ini masih belum diketahui.

Bagi menguji hubungan antara keterujaan motor dan asas saraf jangkitan menguap, kumpulan penyelidik telah menggunakan rangsangan magnetik transkranial (TMS) ke atas 36 subjek dewasa yang menonton video orang lain menguap. Subjek kemudiannya diminta untuk memilih sama ada untuk menahan diri daripada turut menguap ataupun membiarkannya.

Keputusan mendapati bahawa keinginan untuk menguap akan menjadi lebih kuat apabila seseorang cuba untuk menahan diri. Rangsangan elektrik TMS yang digunakan akan meningkatkan keterujaan sekali gus menguatkan lagi kecenderungan untuk menguap.

Walau bagaimanapun, tahap kecenderungan menguap adalah berbeza-beza bagi setiap individu.

Untuk pengetahuan, selain manusia, cimpanzi dan anjing juga mengalami sindrom menguap secara berjangkit.